Oleh ABDUL AZIZ ITAR
TILINTETGJORT mungkin perkataan yang sedikit sukar untuk disebut bagi yang bukan berbahasa Norway. Namun, bagi para peminat muzik black metal, kumpulan yang berasal dari Oslo ini mudah dikenali ramai kerana ia dibarisi oleh para pemuziknya yang tersohor.
Pemain bass Tilintetgjort iaitu Sturt misalnya, merupakan pemuzik yang tidak asing dalam genre muzik ekstrem ini kerana selain bersama kumpulan itu, beliau juga menyertai beberapa buah lagi kumpulan lain di negara Nordik itu antaranya Troll, Urarv dan Blind Fisted.

Menurut Sturt atau nama sebenarnya Jens B.S. Johansen, 42, di Norway ramai pemuzik yang menyertai banyak kumpulan lain bukan perkara baharu kerana senario seumpama itu perkara biasa dalam kalangan mereka kerana ia terbukti mampu mencambahkan lagi kreativiti serta pengalaman dalam sesebuah kumpulan tersebut.
“Norway hanya mempunyai penduduk sekitar 5 juta orang dan kebanyakan pemuzik adalah dalam kalangan yang mengenali antara satu sama lain. Walaupun bermain dalam banyak band, tetapi setiap satu berbeza. Daripada segi kreativiti, banyak kelainan yang boleh ditampilkan dalam setiap band itu.
“Bukan saya sahaja, malah dalam band Troll yang turut saya sertai, vokalis kami iaitu Nagash juga pernah menyertai band lain seperti Dimmu Borgir, Covenant, Carpe Tenebrum dan Chrome Division.Secara tidak langsung pengalaman seperti itu akan memberi nilai tambah kepada sesebuah band tersebut.

“Malah, bekas pemain dram Troll iaitu Hellhammer juga merupakan anggota band Mayhem. Hellhammer bermain dram bersama Troll dari tahun 1998 hingga 2003,” kata pemain bass ini kepada Mynewshub sewaktu ditemui di studionya di Oslo, Norway, baru-baru ini.
Sewaktu ditemui, Tilintetgjort sedang sibuk membuat latihan dan persiapan di studio milik mereka itu sebelum memenuhi undangan mengadakan beberapa persembahan di Jerman.
Kumpulan yang berkonsepkan muzik avant-garde black metal ini juga baru sahaja melahirkan album terbaharu berjudul In Death I Shall Arise di bawah terbitan syarikat rakaman Dark Essence Records. Sebelum ini, mereka telah menghasilkan sebuah demo dan juga masing-masing sebuah EP dan LP beberapa tahun lepas.

Selain Sturt, Tilintetgjort yang ditubuhkan pada tahun 2020 turut disertai oleh Svik (vokalis), Hazzlegard (gitaris), Den Gamle (gitaris) dan Tybalt (dram). Sementara itu dalam Troll selain Sturt, kumpulannya itu juga dianggotai oleh Thaloc selaku gitaris dan juga Nagash (vokalis dan dram).
Troll yang ditubuhkan pada 1992 pula telah menghasilkan album terbaharu bertajuk Trolldom menerusi syarikat rakaman Polypus Records pada 2023. Sturt yang pernah bersama kumpulan Urarv turut sempat menghasilkan sebuah album bertajuk Substratum juga melalui Polypus Records, baru-baru ini.
Jelas Sturt, yang juga selaku pemain bass dalam Tilintetgjort, Troll, Urarv dan Blind Fisted, beliau akan memastikan setiap lagu dan muzik dalam keempat-empat kumpulan yang disertainya itu mempunyai kelainan serta keunikannya yang tersendiri.
“Dalam album Troll banyak elemen tempatan yang ditampilkan seperti cerita legenda Troll itu sendiri. Ia mewakili cerita berasal dari Norway. Ini antara tarikan yang ada dalam Troll, apatah lagi band ini sudah lama wujud dan mempunyai peminatnya yang tersendiri,” jelasnya.
Kenyataan Sturt itu turut disokong oleh gitaris Tilintetgjort iaitu Havard A. Hasselgard, 31, yang menyifatkan ia sebagai suatu senario yang positif kerana membuka ruang buat setiap pemuzik menampilkan kreativiti serta pengaruh muzik yang mereka serapkan dalam sesebuah kumpulan itu.
“Saya meminati banyak band daripada pelbagai jenis muzik. Pengaruh itu saya serapkan dalam band yang saya sertai. Contohnya, saya dengar muzik rock progresif seperti band Yes dan Rush. Saya juga dengar band death metal seperti Autopsy yang mana album Mental Funeral daripada kumpulan ini agak unik stail muziknya.
“Selain itu, saya juga dengar lagu-lagu band Norway ketika era 1990-an seperti band Ved Buens Ende yang menampilkan genre avant-garde dengan menyelitkan elemen jaz di dalamnya. Semua pengaruh dan pengamatan muzik yang saya amati daripada semua itu akan menambahkan lagi nilai tambah dalam sesebuah band yang disertai,” ujarnya.
Sementara vokalis Tilintetgjort iaitu Svik atau nama sebenarnya Simon Peter Hovind, 27, dia pula berasa bertuah kerana diberi kepercayaan menganggotai kumpulan yang dianggotai ramai pemuzik berkaliber dan berwawasan jauh itu.

Kata Svik yang mempunyai darah kacukan India dan Norway, beliau tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan itu dengan berlatih bersungguh-sungguh setiap kali berada dalam studio latihan demi memastikan persembahan Tilintetgjort akan sentiasa padu dan memberi impak kepada para penonton.
“Kami telah mendapat tawaran mengadakan persembahan di Jerman. Saya harap dapat beraksi di negara-negara lain juga selepas ini dalam konsert yang berskala lebih besar. Persembahan kami di Inferno Festival di Oslo sebelum ini antara konsert terbesar yang pernah kami sertai,” katanya.
Malah, beliau yang dilahirkan serta dibesarkan di Norway tidak menolak peluang jika berkesempatan beraksi bersama Tilintetgjort di negara seperti India jika diberi peluang pada masa depan.
“Mengapa tidak? Ini kerana, di sana (India) juga ada festival muzik mereka sendiri. Kalau ada peluang pastinya Tilintetgjort berbesar hati jika dapat beraksi di sana. Apatah lagi, saya ini berdarah kacukan India dan Norway.
“Dulu saya juga pernah melawat India, ia memang sebuah negara yang menarik untuk dikunjungi,” ujarnya lagi yang tidak mampu berbahasa ibunda sebelah keluarganya di India dan hanya boleh berbahasa Norway dan Inggeris sahaja.

Mynewshub-


