Ipoh : Dua penjawat awam, termasuk jurutera daerah, direman tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima rasuah hampir RM750,000 membabitkan hal berkaitan kelulusan projek.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perintah reman sehingga 2 Julai itu dibenarkan Majistret ‘Atifah Hazimah Wahab selepas jurutera daerah itu, 49, dan pembantu awam daripada jabatan sama, 46, dibawa ke perkarangan kompleks Mahkamah Tinggi Ipoh, di sini, hari ini. bagi proses permohonan reman.
Kedua-duanya dibawa pegawai SPRM ke mahkamah jam 10.20 pagi tadi dengan berpakaian lokap oren sebelum dilihat keluar dari kamar mahkamah, jam 10.52 pagi.
Penahanan mereka dibuat selepas lebih RM700,000 yang disyaki hasil rasuah membabitkan wang RM348,700 dan buku akaun terkini Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) berbaki RM400,000, disita daripada jurutera daerah terbabit.
Kedua-duanya ditahan sewaktu memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak, jam 7.45 malam tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Perak Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
-Harian Metro


