KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket penyeludupan migran menerusi jalan laut terbongkar selepas sebuah rumah di Sabak Bernam, Selangor, yang dijadikan transit diserbu pihak berkuasa awal pagi tadi.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Serbuan jam 1.30 pagi dalam Op Pintas Transit Migran itu dilancarkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata dalam gerakan itu, seramai 20 migran warga Indonesia ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007. Lapan lagi warga, termasuk tiga wanita berusia antara 22 hingga 42 tahun ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Selain itu, 11 yang lain berusia antara 24 hingga 38 tahun, termasuk seorang wanita ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Soffian berkata, fokus operasi itu adalah mengesan migran yang memasuki Malaysia melalui jalan tidak diwartakan menerusi laut.
“Siasatan awal mendapati rumah itu dijadikan transit atau rumah penampungan migran yang keluar masuk Malaysia melalui jalan laut secara haram. Kita percaya sindiket terbabit sudah beroperasi kira-kira seminggu lalu,” katanya.
BHonline-