THE HAGUE: Nicaragua memfailkan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Jerman kerana memberi bantuan kewangan dan ketenteraan kepada Israel.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Kes itu turut mempersoalkan tindakan Jerman berhenti membiayai Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Nicaragua meminta ICJ mengeluarkan langkah kecemasan yang memerlukan Jerman menghentikan bantuan ketenteraannya kepada Israel dan membatalkan keputusannya untuk menghentikan pembiayaan kepada UNRWA.
Kementerian Luar Jerman bagaimanapun tidak segera menjawab permintaan untuk memberikan komen terhadap perkara terbabit.
Kebiasaannya, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk perbicaraan mengenai sebarang langkah kecemasan yang diminta dalam masa beberapa minggu selepas kes difailkan.
Nicaragua mendakwa, Jerman telah melanggar Konvensyen Genosid 1948 dan Konvensyen Geneva 1949 mengenai undang-undang perang di wilayah Palestin yang diduduki.
Nicaragua, dalam kes yang difailkan, berkata, selain membekalkan peralatan ketenteraan dan menghentikan pembiayaan UNRWA, Jerman juga didapati memudahkan pelakuan pembunuhan beramai-ramai di Palesten
Penderma utama UNRWA, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Jerman, menggantung pembiayaannya selepas dakwaan bahawa kira-kira 12 daripada puluhan ribu pekerjanya yang juga warga Palestin, dipercayai terbabit dalam serangan 7 Oktober tahun lalu di Israel.
Menurut kes yang dibawa Nicaragua, langkah kecemasan diperlukan kerana Jerman juga terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai dan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa di Semenanjung Gaza.
Tuntutan terbabit berdasarkan kes yang dibawa Afrika Selatan terhadap Israel kerana didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Bulan lalu, ICJ berkata dakwaan Afrika Selatan bahawa Israel melanggar konvensyen pembunuhan beramai-ramai adalah tidak munasabah dan mengarahkan langkah kecemasan, termasuk gesaan Israel menghentikan sebarang kemungkinan tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Israel bagaimanapun menafikan dakwaan pembunuhan beramai-ramai dan berkata bahawa mereka mempunyai hak untuk mempertahankan diri.
Di bawah perjanjian genosid, negara terbabit bukan sahaja perlu bersetuju untuk tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai, malah perlu mencegah dan menghukum sebarang kemungkinan terhadap pelakuan pembunuhan beramai-ramai.
Perkara itu juga menjadikan pembabitan atau percubaan pembunuhan beramai-ramai satu kesalahan dan ditakrifkan sebagai pelanggaran perjanjian.
Menurut pakar-pakar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jerman dan AS adalah antara negara pengeksport senjata terbesar ke Israel.
BHonline-