KUALA LUMPUR: Kediaman Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang juga Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, Manjung diserang menggunakan bahan letupan, ‘molotov cocktail’ awal pagi tadi.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Kejadian itu menyebabkan kebakaran yang turut memusnahkan tiga kenderaan miliknya.
Menerusi laman Facebook, beliau berkata, kebakaran dapat dibendung dan tiada kecederaan membabitkan beliau dan ahli keluarganya.
Ngeh memaklumkan akan mengadakan sidang media di Pusat Khidmat Ayer Tawar berkenaan insiden terbabit, jam 12.30 tengah hari ini.


Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Penguasa Kanan Bomba Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 3.05 pagi tadi.
“Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati terdapat kebakaran membabitkan tiga kereta iaitu Mercedes E300, Honda CRV dan Toyota Hilux selain siling dan bumbung garaj meletak kereta.
“Tiada mangsa cedera dan operasi ditamatkan jam 4.44 pagi selepas kebakaran berjaya dipadamkan,” katanya hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, menjelaskan anggota bomba sempat memadamkan api dan mengelak kebakaran berkenaan merebak ke dalam kediaman Ngeh.
Katanya, laporan polis sudah dibuat dan pihaknya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak tegas dan cepat untuk menyiasat dan menangkap pihak yang bertanggungjawab dalam jenayah terbabit.
“Saya mewakili seluruh pimpinan DAP berasa simpati dan bersolidariti dengan keluarga beliau dalam kejadian keganasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan itu yang mengancam keselamatan nyawa keluarga beliau dan menegaskan bahawa apa saja bentuk unsur keganasan tidak boleh diterima sekali dalam menangani perbezaan dalam masyarakat.

“DAP juga meminta pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM supaya mengambil perhatian serius dalam kejadian ini dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga.
Insiden kediaman Ahli Parlimen atau ahli politik diserang dengan bahan letupan jarang berlaku di negara ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen DAP itu mendapat perhatian meluas selepas beliau mencadangkan pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Beliau bagaimanapun memohon maaf dan menarik semula cadangannya itu selepas dikritik pelbagai pihak.

BHonline-


