PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan menegaskan empat elemen pertuduhan termasuk kematian Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, berpunca daripada perlakuan enam lelaki sudah berjaya dibuktikan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Lelaki terbabit iaitu bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 60; pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandran, 52, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 31; A K Thinesh Kumar, 30; M Vishwanath, 33, serta S Nimalan, 30, merayu terhadap hukuman mati atas sabitan kesalahan membunuh Kevin Morais.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, berkata dua lagi elemen ialah Kevin Morais meninggal dunia dan kematiannya disebabkan kecederaan dialami.
Katanya, elemen terakhir perlakuan perayu berkenaan melaksanakan niat bersama seperti diperuntukkan Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK) untuk menyebabkan kematian Kevin Morais.
“Mahkamah Tinggi (sebelum ini) membuat dapatan semua elemen pertuduhan dibuktikan oleh pihak pendakwaan.
“Dalam kes ini, Mahkamah Tinggi berpuas hati bahawa keterangan secara langsung dan ikut keadaan menjurus kepada pembuktian niat bersama perayu terbabit menyebabkan kematian Kevin Morais.
“Berdasarkan kepada keterangan 70 saksi pendakwaan, responden (pendakwaan) menghujahkan bahawa semua elemen pertuduhan berjaya dibuktikan,” katanya.
Beliau berhujah di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin, hari ini.
Pada 10 Julai 2020, semua lelaki berkenaan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh Kevin Morais.
Mereka didakwa membunuh Kevin Morais, 55, di sebuah lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan Nombor 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi hingga jam 8 malam pada 4 September 2015.
Mendiang dilaporkan hilang pada tarikh terbabit dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium di Menara Duta, Kuala Lumpur, untuk ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana.
Mayatnya ditemui dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015.
Mohd Dusuki berkata, pihaknya bergantung kepada keterangan saksi pendakwaan ke-11 iaitu Pakar Perunding Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Nurliza Abdullah, yang menjalankan bedah siasat ke atas Kevin Morais sebelum mengesahkan punca kematian adalah ‘probable asphyxiation’ atau kemungkinan kelemasan udara.
“Melalui keterangan saksi pendakwaan ke-11, mustahil untuk kebarangkalian Kevin Morais lemas dalam air, membunuh diri, mengalami serangan jantung dan melakukan kecederaan kepada diri sendiri.
“Keterangan saksi itu jelas menunjukkan bahawa Kevin Morais mati akibat ‘asphyxia’ yang mana keadaan itu tidak boleh dilakukan oleh dirinya.
“Huraian saksi terbabit juga jelas di mana sebab Kevin Morais meninggal dunia adalah disebabkan lemas atau sesak nafas atas faktor luar menyebabkan mendiang tidak dapat bernafas dan mengalami kekurangan oksigen atau ketiadaan oksigen langsung,” katanya.
Mahkamah Rayuan kemudian menetapkan 14 Mac tahun depan untuk keputusan.
BHonline-


