KUCHING: Semua pihak perlu berjaga-jaga bagi menghadapi ancaman kesihatan baharu yang berupaya menjadi pandemik dikenali sebagai penyakit X.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengenal pasti sifat penyakit X, persediaan harus dilaksanakan bagi menghadapinya.
Beliau berkata, kesukaran untuk mendapatkan vaksin ketika dunia dilanda pandemik COVID-19, harus dijadikan iktibar agar semua pihak bersedia untuk menghadapi wabak yang bukan sahaja mengancam kesihatan tetapi juga boleh menjejaskan ekonomi dunia.
“Sekarang kita masih belum tahu apa sebenarnya penyakit X itu, adakah ia demam atau penyakit yang ada kaitan dengan jangkitan selsema kerana sehingga kini, WHO belum mengumumkannya.
“Jika sudah diketahui apa sebenarnya penyakit X, barulah kita tahu apa vaksin sesuai untuk menanganinya, seperti mana ketika kita menghadapi pandemik COVID-19 dahulu yang akhirnya ada tiga pengeluar berjaya menghasilkan vaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Forum Usahawan dan Perniagaan 2023, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, dalam persediaan menghadapi ancaman penyakit berbahaya, Sarawak sudah menyediakan pakar dan menubuhkan pusat penyelidikan penyakit berjangkit.
“Kita (kerajaan Sarawak) melabur sejumlah RM200 juta bagi membangunkan pusat penyelidikan penyakit berjangkit itu dan kita mempunyai pakar termasuk dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Tenaga pakar itu boleh bekerjasama bukan sahaja untuk menyembuhkan penyakit tetapi juga berupaya menghasilkan vaksin bagi menghalang penularan wabak merbahaya,” katanya.
Justeru katanya, pakar tempatan di Sarawak menjalin kerjasama dengan pakar antarabangsa dari Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Singapura bagi menangani penyakit berjangkit.
“Objektif utama kolaborasi dengan pakar antarabangsa itu ialah untuk menjamin kita mempunyai vaksin sendiri apabila menghadapi sesuatu ancaman wabak,” katanya.
BHonline-