Seorang pemimpin Umno tampil memberi sokongan kepada langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan pelaksanaan program Minggu Solidariti Palestin ketika ada sesetengah pihak menyuarakan bantahan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi berkata tidak wajar untuk KPM tunduk kepada desakan pihak yang cuba mengambil kesampatan di sebalik kontroversi pelajar membawa replika senjata ke sekolah.
“Kerana nila setitik ada pihak dan individu ambil kesempatan desak KPM batalkan Minggu Solidariti Palestin yang bermula esok.
“KPM tidak wajar tunduk kepada desakan itu,” kata bekas timbalan menteri pendidikan itu dalam satu hantaran di Facebooknya.
Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan program melibatkan senjata mainan di sebuah sekolah seperti yang tersebar di media sosial tidak termasuk dalam pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin, yang dijadual bermula 29 Okt hingga 3 Nov ini.
Fadhlina juga berkata program tersebut sama sekali tidak mengikut panduan yang telah ditetapkan KPM.
“Ingin saya tegaskan Minggu Solidariti Palestin bertujuan mendidik murid-murid dengan nilai kemanusian, merangkumi hak asasi manusia, keamanaan, keharmonian dan kedamaian sejagat.
“Justeru KPM tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme, radikalisme dan keganasan, apatah lagi dengan penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi yang tak dibenarkan sama sekali,” katanya dalam satu video di laman Facebooknya.
Susulan itu, DAP menyatakan terkilan dengan penganjuran program di sebuah sekolah rendah yang mengandungi unsur-unsur keganasan dan ekstremisme itu.
Sehubungan itu, setiausaha agungnya Anthony Loke menggesa KPM mengambil tindakan tatatertib terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi mengelak ia berulang.
Sementara itu, sekumpulan tiga ahli parlimen dan sembilan Adun PKR menggesa KPM mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam.
Dalam satu kenyataan bersama semalam, kumpulan itu yang kesemuanya terdiri daripada etnik Cina berkata, program terbabit perlu dikaji semula supaya sekolah dan institusi awam bebas daripada unsur kebencian dan keganasan.
Kata Mohd Puad, insiden membabitkan pelajar sekolah bawa memsenjata mainan itu dianjurkan di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin yang hanya akan bermila esok, selain tidak patuh garis panduan ditetapkan.
“Pada saat seluruh negara dan dunia mengecam kekejaman Israel maka tidak ada sebab semua peringkat rakyat Malaysia bersolidariti dengan rakyat Palestin yang juga ternafi hak pendidikan berkualiti,” katanya.
Sementara itu, The Malaysian Insight melaporkan sekolah mubaligh di Sarawak yang dikendalikan oleh gereja Anglikan dan Katolik memilih untuk tidak menyertai minggu solidariti tersebut.
Selain itu, sekolah di Sarawak juga diberi pilihan untuk mengambil bahagian atau sebaliknya.
Presiden sekolah misi Anglikan di Sarawak, Danald Jute, dilaporkan berkata pihaknya berpendapat “tidak perlu” untuk mengadakan acara itu kerana ia tidak wajib.
Mereka yang menguruskan sekolah itu juga mendakwa bimbang dengan video dan gambar yang dikongsi di media sosial yang menunjukkan guru serta kanak-kanak membawa senjata api serta pelajar memijak bendera Israel.
Untuk rekod, terdapat 127 sekolah mubaligh di Sarawak.
-Malaysia Kini