BATU GAJAH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menganugerahkan kartunis terkenal, Datuk Mohd Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat gelaran sebagai Seniman Diraja.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Sultan Nazrin bertitah, anugerah itu bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan besar lagi bermakna oleh seniman agung itu memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama negara.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Galeri Rumah Lat di Jalan Bemban, di sini, hari ini.
Baginda bertitah legasi seniman agung itu harus diperturunkan kepada generasi muda sebagai pewaris seterusnya dan menjadi sumber khazanah yang amat bernilai buat rakyat.
“Semoga Galeri Rumah Lat, kekal sebagai satu simbol pencapaian hebat seorang seniman yang Allah SWT telah mengurniakan bakat tersangat istimewa dan luar biasa,” titah baginda ketika menyempurnakan perasmian Galeri Rumah Lat di Jalan Bemban, di sini, hari ini.
Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Mohammad Nor serta isteri, Datin Faezah Ahmad Zanzaw dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Sultan Nazrin bertitah, melalui lakaran yang santai dan bersahaja, Lat berjaya mengetengahkan pemerhatian yang tajam mengenai kehidupan masyarakat majmuk yang hidup dalam harmoni.
Titah baginda, karikatur Lat banyak menceritakan mengenai perkara yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.
Baginda bertitah, Lat melihat kepelbagaian itu sebagai aset dan khazanah berharga di negara ini dan memilih mengetengahkan elemen persamaan anggota masyarakat yang pelbagai seperti kegembiraan majlis perkahwinan, kemeriahan hari kebesaran, alam sekolah, mengalami kesesakan jalan raya, menikmati makanan di restoran dan pelbagai lagi.
“Karyanya, membawa mesej jelas bahawa rakyat yang pelbagai itu sebenarnya, memiliki naluri asas mahu hidup secara aman dan harmoni dalam semangat saling hormat-menghormati, rakyat yang pelbagai itu pada asasnya tidak berprasangka buruk antara satu sama lain hanya kerana berlainan kaum, fahaman agama, amalan budaya dan penguasaan bahasa.
“Galeri Rumah Lat mempamerkan sejarah hidup, liku-liku perjalanan seorang anak seni, merakamkan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan yang dicapai oleh seorang ‘kampung boy’ yang berhijrah menjadi ‘town boy’ dan kini bertaraf seniman ternama di peringkat antarabangsa.
“Tetapi Lat kekal dengan sifat rendah diri seorang anak kampung, laksana padi, semakin berisi semakin tunduk. Semoga Allah SWT mengurniakan Lat sebaik-baik kesihatan dan usia untuk terus berkarya,” titah baginda.
Titah Sultan Perak, karya Lat mendapat pengiktirafan untuk diterbitkan secara komersial sejak beliau masih di sekolah rendah yang mana antara karya awal beliau ialah Keluarga Si Mamat” kali pertama disiarkan pada tahun 1968 dalam Berita Minggu yang kini dikenali BH Ahad dan sirinya diterbitkan oleh akhbar Berita Minggu selama 26 tahun.
Sultan Nazrin bertitah, pengamatan Lat mengenai kehidupan yang berwarna-warni dijelmakan melalui beberapa karya popular seperti “Kampung Boy” dan “Town Boy” yang menjadi antara contoh penelitian yang terperinci mengenai kehidupan di desa dan di bandar meliputi pelbagai isu.
“Sumbangan dan penglibatan Lat dalam dunia kartun tanah air amat terserlah serta berjaya mengangkat dirinya sebagai tokoh kartunis yang cerdas, bersifat genius, serta memiliki identiti yang unggul.
“Lakaran bersahaja melalui garapan pengalaman telah meletakkan karya-karya Lat di kelas tersendiri, melayakkan beliau dianugerahi dengan pelbagai penghargaan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa, yang turut mengharumkan nama negara,” titah baginda.
Baginda turut bertitah, karya-karya Lat menggambarkan pandangan dan analisis peribadinya terhadap pelbagai isu, menyentuh kehidupan rakyat jelata antaranya terdiri daripada pemandu bas, polis trafik, pegawai kastam, pegawai imigresen, doktor dan jururawat, hakim dan peguam, tokoh sukan, pemimpin, menyentuh isu-isu lokal, nasional dan antarabangsa.
Lat dilahirkan di Kampung Lalang, Gopeng, Perak mula melukis kartun pada usia 13 tahun dengan karya pertamanya adalah siri ‘Tiga Sekawan’.
Karya lain yang mengangkat nama Lat ialah ‘Lots of Lat”; ‘Lats Lot’; Kampung Boy; Mat Som dan Dr Who?.
Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan di akhbar Berita Harian pada 1970 sebelum bertugas sebagai wartawan meja jenayah di akhbar New Straits Times (NST) pada 1973.
Sepanjang kerjayanya, Lat telah menerima pelbagai anugerah termasuk Hadiah Kebudayaan Asia Fukuoka pada 2002 yang mengiktiraf hasil kerja individu dan organisasi yang terbabit dalam memelihara kebudayaan dan kesenian.
BHonline-