PUTRAJAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kecewa dengan keputusan kerajaan yang merujuk semula Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pegawai pendidikan dan aktivis antimerokok CAP, NV Subbarow, berkata ini kerana RUU terbabit amat penting dan bakal menyelamatkan ratusan ribu nyawa generasi akan datang.
“Hari demi hari ratusan kanak-kanak sekolah, pelajar, belia serta gadis muda ketagih dengan tabiat nikotin ini dan semakin lama Ahli Parlimen melambatkan hal ini, kita akan melihat banyak penagih nikotin di jalan raya.
“CAP tidak faham mengapa RUU ini perlu dirujuk semula kepada JKPK tanpa sebarang perbahasan dan berapa kali ia akan dirujuk kepada jawatankuasa ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, dilapor berkata RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dirujuk sekali lagi kepada JKPK Kesihatan.
Ini kali kedua RUU yang turut dikenal sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) itu dirujuk kepada JKPK berkenaan selepas pertama kali dibentangkan oleh Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin, pada tahun lalu.
Dr Zaliha ketika mengulas keputusan itu berkata tindakan itu mengambil kira maklum balas yang diterima mengenai RUU berkenaan khususnya melalui sesi libat urus yang diadakan pada 6 Mac lalu.
Mengulas lanjut, Subarrow berkata, ramai ibu bapa dan guru melahirkan kebimbangan selepas mendapat tahu RUU itu akan dirujuk kepada kepada JKPK.
Katanya, tindakan itu turut menyebabkan mereka marah kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mereka percaya KKM akan mengambil beberapa langkah sihat untuk mengatasi cecair berasaskan nikotin ini yang dijual kepada golongan muda seawal usia lapan tahun untuk digunakan dalam vape.
“Akhirnya mereka sangat kecewa kerana tiada sebarang keputusan konkrit dibuat di Parlimen hari ini sebaliknya dirujuk pula kepada JKPK,” katanya.
Justeru, beliau menggesa KKM tidak berlengah lagi dan meluluskan RUU berkenaan demi keselamatan generasi akan datang.
BHonline-


