Kuala Lumpur : Taktik sindiket perjudian dalam talian berselindung di sebalik sebuah kondominium mewah di Salak Selatan, Cheras di sini terbongkar selepas digempur polis kelmarin.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, sindiket itu dipercayai menyasarkan pelanggan dari negara jiran khususnya Indonesia.
“Serbuan 12.30 tengah hari itu menahan 11 lelaki warga asing berusia 20 hingga 29 terdiri daripada seorang penyelia manakala selebihnya bertindak sebagai pegawai khidmat pelanggan.
“Hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan menjadikan premis yang disewa itu sebagai call centre dan mencari pelanggan bagi menawarkan permainan judi dan pembukaan akaun judi.
“Sindiket itu dipercayai sebahagian daripada rangkaian sindiket judi luar negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini hari ini.
Menurutnya, hasil soal siasat mendapati premis berkenaan disewa pada kadar RM7,000 sebulan.
Katanya, dianggarkan lebih kurang 300 pelanggan melayari laman web perjudian haram berkenaan dengan transaksi pembelian kredit lingkungan RM500,000 hingga RM700,000 sebulan.
“Premis berkenaan digunakan untuk mempromosikan judi dalam talian dengan menggunakan platform laman web www.rp369menang.com.
“Pelanggan akan melayari laman web dan mendaftar secara percuma. Perjudian dijalankan menggunakan kredit yang dibeli dengan harga bermula dari 25,000 rupiah atau sekitar RM7,” katanya.
Zam Halim berkata, kesemua suspek yang masuk menggunakan pas lawatan sosial yang masih sah itu direman empat hari bermula semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sementara itu beliau berkata, sebanyak 253 serbuan dijalankan melibatkan kes perjudian di daerah ini sejak Januari hingga Mei dengan kadar pertuduhan sebanyak 249 kes atau 98 peratus.
-Harian Metro
