KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan kriteria pemeriksaan kesihatan bagi bakal jemaah haji Malaysia musim haji 1444H/2023 seperti tahun sebelumnya.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Walaupun Malaysia kini menuju ke fasa endemik, kerajaan harus menghormati keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang masih mengklasifikasikan COVID-19 sebagai pandemik.
Keputusan KKM dan TH mengekalkan kriteria pemeriksaan kesihatan seperti musim haji 1443H/2022 adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan semua bakal jemaah haji Malaysia berada pada tahap yang baik dari segi fizikal dan mental untuk melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.
Kriteria pemeriksaan kesihatan di bawah Garis Panduan itu antaranya menetapkan indeks jisim badan (BMI) tidak melebihi 40, penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes yang stabil, tiada penyakit yang serius seperti kanser, penyakit paru-paru yang kronik dan sebagainya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pemeriksaan kesihatan bakal haji adalah aktiviti penting yang dijalankan oleh KKM dengan kerjasama TH ke atas setiap bakal haji yang akan menunaikan fardu haji ke tanah suci setiap tahun.
“Ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental, maka aspek kesihatan harus dititik beratkan oleh semua bakal haji bermula di tanah air lagi.
“Pemeriksaan kesihatan adalah satu langkah positif supaya semua jemaah haji Malaysia mempunyai tahap kesihatan baik kerana ibadat haji membabitkan jutaan jemaah dari seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, ketika di tanah suci, jemaah haji juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak.
Katanya, jemaah juga perlu mengelakkan daripada berhubung dengan mereka yang bergejala dan menjalani ujian RTK-Ag COVID-19 kendiri sekiranya mendapati diri bergejala.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata saringan kesihatan yang ketat pada musim haji lalu adalah satu langkah yang berkesan apabila peratusan jemaah haji yang mendapatkan rawatan pesakit luar dan dimasukkan ke dalam wad amat rendah berbanding tahun sebelum ini.
“Ia selaras dengan peraturan yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi dan KKM iaitu setiap bakal jemaah haji Malaysia wajib menjalani pemeriksaan kesihatan oleh doktor di klinik yang diiktiraf.
“Langkah ini adalah bagi memastikan jemaah haji Malaysia berada pada tahap kesihatan yang optimum,” katanya yang turut memaklumkan surat tawaran haji akan dikeluarkan bermula Rabu ini.
Katanya, semua bakal haji Malaysia boleh menyemak dan menjawab tawaran haji melalui www.thijari.com.my atau memuatnaik aplikasi THiJARI bagi tujuan tersebut.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan TH, orang ramai boleh melayari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-62071919.
Semalam, BH melaporkan sebanyak 31,600 surat tawaran menunaikan ibadah haji dikeluarkan TH mulai Rabu ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, dilaporkan berkata ia akan diedarkan secara berperingkat kepada jemaah terpilih.
“Jemaah boleh semak bermula Rabu ini melalui aplikasi THiJARI atau untuk kes tertentu boleh terus mengunjungi mana-mana cawangan berdekatan.
“Jemaah perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat berkenaan dalam tempoh tujuh hari bekerja,” katanya.
-Berita Harian


