KUALA LUMPUR: Sembilan tahun berlalu tanpa sebarang berita yang jelas mengenai kehilangan penerbangan MH370, menyebabkan ahli keluarga mangsa masih menaruh harapan supaya ada jawapan bagi merungkai insiden berkenaan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kumpulan Voice370 yang mewakili ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370 dalam satu kenyataan mahu usaha pencarian pesawat itu diteruskan walaupun sembilan tahun sudah berlalu.
Mereka juga mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memberikan sokongan kepada keluarga mangsa kehilangan penerbangan itu dengan menerima sebarang cadangan yang dikemukakan firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity.
Ocean Infinity adalah firma berpangkalan di Amerika Syarikat itu menjalankan operasi pencarian MH370 pada 2018 yang mana terikat dengan perjanjian bersama dengan kerajaan Malaysia tetapi dihentikan pada Mei selepas usaha pencarian tidak berhasil.
Firma itu berminat meneruskan operasi pencarian dengan perjanjian “tiada penemuan, tiada bayaran”, yakni pembayaran dibuat hanya jika syarikat itu menemukan serpihan pesawat berkenaan pada 2022.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan, beliau tidak akan sesekali menghentikan usaha mencari atau siasatan berhubung tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.
Beliau berkata, kerajaan Malaysia tidak pernah melupakan tragedi yang berlaku pada 8 Mac 2014 itu dan akan menyambung semula operasi pencarian bagi mengesan lokasi terakhirnya jika terdapat maklumat baharu yang boleh dipercayai.
Voice370 turut menegaskan keluarga penumpang dan anak kapal MH370 berjaya membina semula kehidupan namun ancaman terhadap keselamatan penerbangan masih menjadi isu global.
“Selagi kita masih dalam ‘kegelapan’ mengenai apa yang berlaku kepada MH370,kita tidak akan dapat mengelakkan tragedi yang sama berulang.
“Sehubungan itu, kami percaya bahawa pencarian MH370 adalah perkara yang sangat penting untuk dilakukan sehingga selesai,” kata kumpulan itu.
Mereka turut mengalu-alukan sokongan dan keterbukaan Anthony yang mahu pencarian penerbangan itu diteruskan.
Sementara itu, ibu kepada ketua pramugara pesawat MH370, Andrew Nari, Catherine Tamoh berkata, beliau sudah menerima kenyataan kehilangan pesawat berkenaan, namun mengharapkan ada jawapan atas kehilangannya.
“Selepas sembilan tahun, kesedihan masih ada walaupun saya sudah terima hakikat pesawat itu hilang.
“Namun, hingga hari ini saya masih kabur dengan apa yang berlaku. Saya mahukan jawapan atas kehilangan pesawat itu. Jadi saya mengalu-alukan usaha kerajaan yang mahu terus mencari penerbangan ini,” katanya kepada BH.
Ditanya mengenai kehidupan beliau selepas kehilangan anak lelakinya itu, katanya beliau kini mentap bersama adiknya di Sibu, Sarawak dan anak-anak lain tinggal di Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain.
“Kami semua baik-baik saja…namun tetap tidak putus harapan satu hari nanti akan ada jawapan mengenai kehilangan penerbangan itu,” katanya menjelaskan tiada sebarang upacara diadakan bagi memperingati kehilangan penerbangan itu oleh keluarganya.
Beliau turut berkongsi mengenai keadaaan cucunya yang juga anak Andrew, Maira Elizabeth yang kini sudah pun bekerja selepas menamatkan pengajian.
“Syukur, semuanya baik-baik dan Maira juga sudah bekerja selepas menamatkan diploma dan kami sekeluarga tidak putus doa agar apa yang berlaku ini ada jawapannya,” katanya.
Sementara itu, Nurlaila Ngah@Awang, isteri pramugara kanan pesawat Malaysia Airlines MH370, Wan Swaid Wan Ismail berkata, ingatan dan doa buat suaminya sentiasa dihati dan dibibir beliau dan keluarga.
“Memang tarikh hari ini (8 Mac) sentiasa dalam hati kami,” katanya yang baru kehilangan bapanya.
BHonline-