KUALA LUMPUR: Hukuman lebih berat kepada Ahli Dewan Rakyat yang mengeluarkan perkataan atau kenyataan perkauman, menghina dan diskriminasi jantina di Parlimen, dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada institusi politik negara.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata langkah yang mahu dilaksanakan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul itu tepat pada masanya berikutan insiden membabitkan kenyataan perkauman dan diskriminasi sudah terlalu kerap berulang.
Malah, beliau mencadangkan supaya hukuman penggantungan selama enam bulan dan denda RM1,000 dikenakan secara serentak kepada mana-mana Ahli Parlimen yang melakukan kesalahan berkenaan di Dewan Rakyat.
“Sudah banyak kali berlaku situasi kualiti perbahasan ahli dewan rakyat dipersendakan apabila sentimen-sentimen perkauman dan unsur-unsur diskriminasi dilontarkan sewenang-wenangnya.
“Penggantungan enam bulan adalah wajar. Begitu juga denda RM1,000 adalah sebagai ingatan tegas kepada mana-mana ahli parlimen. Dua hukuman tegas ini perlu dikenakan serentak.
“Sebenarnya tindakan hukuman ini lebih untuk memberikan keinsafan terhadap Ahli Parlimen agar lebih bertanggungjawab, beradab dan beretika.
“Ini penting bagi memelihara wibawa institusi Parlimen agar lebih dihormati dan mengembalikan kepercayaan rakyat dan juga masyarakat dunia kepada institusi politik Malaysia,” katanya kepada BH, hari ini.
Ketua Wanita UMNO itu mengulas laporan eksklusif BH hari ini, mengenai hasrat Johari melaksanakan beberapa pembaharuan bagi memperkasa Parlimen, termasuk mengenakan tindakan lebih berat terhadap Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan perkauman, menghina dan mendiskriminasi jantina.
Katanya, hukuman boleh dikenakan termasuk denda RM1,000 yang termaktub dalam Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 yang tidak pernah digunakan, serta penggantungan daripada Parlimen selama enam bulan yang jarang digunakan Speaker terdahulu.
Malah, Johari juga berhasrat untuk meningkatkan lagi kadar denda yang boleh dikenakan kepada Ahli Dewan Rakyat yang melanggar peraturan berkenaan.
Mengulas lanjut, Noraini menegaskan semua Ahli Parlimen memiliki peranan penting ketika negara berdepan cabaran ekonomi tidak menentu, sekali gus perlu menghindari perbahasan beremosi yang berisiko menyebabkan mereka melanggar peraturan Dewan Rakyat.
“Ketika mendepani cabaran ekonomi yang tidak menentu masa kini, seharusnya setiap Ahli Parlimen memainkan peranan penting bagi memastikan dasar kerajaan disemak imbang bersandarkan data dan hujah terbaik.
“Dalam soal ini, emosi dan sentimen peribadi setiap Ahli Parlimen perlu dihindari berbanding nilai intelektualisme sesuai dengan keperluan negara yang lebih besar masa kini,” kata bekas Menteri Pengajian Tinggi itu.
BHonline-


