JOHOR BAHRU: Tiga kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tangkak direman lima hari kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan membuat tuntutan palsu, dua tahun lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perintah reman sehingga Ahad terhadap ketiga-tiga suspek dikeluarkan Majistret, Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Seorang tertuduh yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Kebajikan disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM2,000 kepada Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan JKM Johor pada Mac 2021.
Menurut sumber, tuntutan tersebut dibuat bagi penyediaan makanan dan minuman Program Bakul Makanan di bawah Inisiatif Pakej Khas Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).
Walau bagaimanapun, difahamkan bekalan makanan dan minuman bagi program itu tidak dibekalkan oleh suspek.
Sementara itu, dua lagi suspek yang bertugas sebagai Pembantu Pembangunan Masyarakat JKM Tangkak direman kerana mengemukakan tuntutan palsu sebanyak RM1,200 kepada JKM Daerah Tangkak pada Mac 2021.
Difahamkan, tuntutan itu dibuat bagi bayaran Tabung Bantuan Segera sebanyak RM300 seorang kepada empat penerima dengan jumlah keseluruhan RM1,200, namun wang bantuan tersebut tidak diterima penama terbabit.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek yang berusia 43 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM Johor malam tadi selepas hadir memberikan keterangan.
Mereka dibawa ke mahkamah antara pukul 9 pagi hingga 9.30 pagi ini dengan berpakaian lokap SPRM berwarna oren.
UtusanOnline-


