KUALA LUMPUR : Pihak berkuasa perlu memperketatkan undang-undang pelesenan operasi taman tema bagi mengelak insiden dua wanita dan seorang kanak-kanak cedera selepas terjatuh daripada satu permainan di tapak pesta ria di Eco Grandeur, Puncak Alam, malam tadi berulang.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata insiden itu perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa, sekali gus memerlukan siasatan segera dilakukan.
Beliau berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) juga perlu melakukan pemeriksaan berkala ke atas peralatan yang digunakan di tapak berkenaan bagi mengelak insiden buruk.
“Undang-undang berkaitan pengelolaan tapak pesta ria harus dikaji semula dan diperketatkan supaya insiden seperti ini tidak berulang pada masa akan datang.
“Insiden seumpama itu boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa mengetatkan syarat dan undang-undang pelesenan serta membuat siasatan sebelum lesen diluluskan,” katanya kepada BH hari ini.
Sehubungan itu Lam Thye berharap insiden terbaharu itu menjadi iktibar kepada pengurus tapak pesta ria.
“Ini bukan satu isu yang baharu, beberapa tahun lalu juga perkara seperti ini pernah berlaku dan kita tidak mahu sejarah sama berulang.
“Pengusaha tapak pesta ria wajib mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan bagi menjamin keselamatan pengunjung,” katanya.
Dalam kejadian malam tadi, dua wanita dan seorang kanak-kanak cedera selepas terjatuh daripada satu permainan ‘fun fair’ di Eco Grandeur.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa dilaporkan berkata pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan telefon mengenai insiden terbabit kira-kira jam 8.50 malam.
“Ketiga-tiga mereka terjatuh dari permainan ‘Sotong Ride’ ketika sedang bergerak. Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 kerana beroperasi tanpa lesen.
Terdahulu, beberapa video dan gambar mengenai kejadian itu tular di laman sosial.
-Berita Harian


