Alor Gajah : Seorang wanita meninggal dunia ketika menziarahi pusara adik lelakinya di Tanah Perkuburan Islam Lubok China, di sini, semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian 10.45 pagi itu, Suhaidzra Abd Zahar, 46, dikatakan rebah secara tiba-tiba di tepi kubur arwah, sebelum disahkan meninggal dunia akibat masalah komplikasi jantung.
“Selepas kematian adik lelakinya, Mohd Hairi pada 4 November 2021, Suhaidzra kerap memandu kereta bersendirian dari Seremban 2 ke kampungnya di Lubok China untuk mengunjungi pusara arwah.
“Namun, semalam ada saksi melihat dia tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri di tepi pusara adiknya sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Lubok China oleh orang awam dan dia kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Menurut Arshad, Suhaidzra yang belum berkahwin dan bekerja di sebuah firma guaman di Seremban 2 adalah anak ketiga daripada sembilan beradik.
“Jenazahnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk tindakan lanjut yang mana pegawai perubatan mengesahkan dia meninggal dunia akibat masalah komplikasi jantung.
“Siasatan polis juga mendapati tiada unsur jenayah dalam kematiannya dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
-Harian Metro


