KUALA LUMPUR : UMNO mengarahkan semua 191 Bahagiannya termasuk pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di seluruh negara melancarkan jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di bahagian masing-masing.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah melancarkan jentera PRU15 di setiap peringkat bahagian itu perlu dilakukan kerana pilihan raya umum semakin hampir.
“PRU15 semakin hampir, tak kira bila tarikhnya yang pasti semakin hampir, bukan semakin jauh,” katanya dalam mesej media sosial hari ini.
Kenyataan itu menguatkan lagi spekulasi PRU15 akan diadakan dalam waktu terdekat.
Semalam, pembubaran Parlimen terus menjadi topik hangat dibincangkan termasuk di Dewan Rakyat apabila beberapa wakil rakyat pembangkang membangkitkannya dalam perbahasan.
Malah sesi Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam turut mendapat perhatian berikutan spekulasi beliau memohon pembubaran Parlimen daripada baginda bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRU15.
-Berita Harian


