Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi baru-baru ini mendedahkan terdapat isu yang masih berlaku dalam sistem percukaian yang mahu ditangani oleh HASiL.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menurut beliau, walaupun hasil cukai semakin menunjukkan peningkatan, tetapi beberapa masalah yang berlaku dalam sistem percukaian tetap ada termasuk Ekonomi Bayangan.
Justeru, katanya, HASiL akan terus menambah baik perkhidmatan serta mempersiapsiagakan pegawai dengan kemahiran dan ilmu sistem percukaian baharu.
“Tugas HASiL adalah menambak baik dan melengkapkan pegawai kita dengan kemahiran dan pengetahuan baharu.
“Tambahan pula, perniagaan ketika ini berbeza dan sudah berada di peringkat global. Ia memerlukan HASiL sentiasa bersedia dengan kepakaran baharu,” katanya.
Mungkin ada yang kurang memahami apakah Ekonomi Bayangan yang dimaksudkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL.
Berikut penjelasan mengenai Ekonomi Bayangan berdasarkan Sepintas e-Buku HASiL di https://mytax.hasil.gov.my/ :
Menurut HASiL, definisi Ekonomi Bayangan agak sukar ditentukan, namun kebiasaannya, individu atau perniagaan yang terlibat dalam aktiviti ini akan memastikan mereka tidak dapat dikesan oleh agensi penguatkuasa.
Pelbagai terma berbeza digunakan bagi menggambarkan aktiviti ekonomi bayangan antaranya ekonomi bawah tanah, ekonomi tidak mematuhi perundangan, ekonomi tersembunyi, grey economy, black economy, ekonomi berasaskan tunai atau ekonomi tidak formal.
Terdapat dua kategori Ekonomi Bayangan berdasarkan penerangan HASiL iaitu aktiviti perniagaan yang sah di sisi undang-undang dan aktiviti perniagaan yang tidak sah di sisi undang-undang.
Ekonomi Bayangan membabitkan aktiviti perniagaan yang sah di sisi undang-undang melibatkan individu atau entiti perniagaan yang patuh pada undang-undang untuk menjalankan perniagaan.
Termasuk mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan memperolehi lesen pihak berkuasa tempatan (PBT). tetapi tidak mematuhi undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan.
Kategori aktiviti perniagaan yang tidak sah di sisi undang-undang pula melibatkan aktiviti jenayah. Aktiviti itu juga tertakluk kepada penguatkuasaan di bawah Akta Cukai Pendapatan.
Sebagai contoh aktiviti penyeludupan di sempadan negara, pengubahan wang haram, perjudian haram, pengedaran dadah, kelab-kelab malam yang tidak berdaftar dan juga pemerdagangan manusia.
Kedua-dua kategori Ekonomi Bayangan ini memberi impak yang negatif kepada masyarakat dan juga negara kerana akan meningkatkan kos kerajaan dan perniagaan lain.
Menyumbang kepada eksploitasi pekerja, persaingan tidak sihat, merisikokan pengguna dan perniagaan serta menjejaskan kredibiliti norma sosial dan sistem percukaian dalam menyokong pematuhan cukai secara sukarela.
Ekonomi Bayangan mengundang kepada perbuatan tidak mendaftar fail cukai dengan HASiL, tidak melaporkan pendapatan, melaporkan pendapatan kurang daripada sepatutnya atau tidak patuh dalam pembayaran cukai.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti Ekonomi Bayangan atau berlakunya aktiviti pelarian cukai boleh menjadi ‘wira negara’ dengan melaporkannya kepada HASiL melalui beberapa cara iaitu:
i. Menulis surat kepada Bahagian Sumber Dan Aduan Awam, Jabatan Perisikan Dan Profiling, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.
ii. E-melkan kepada [email protected] atau menghubungi talian terus 03-8913 3990 @ 03-8913 3800 (samb @ ext : 120560, 120569 @ 120578)
iii. Atau hadir ke mana-mana pejabat HASiL atau Pejabat Pengarah Negeri atau pejabat Cawangan Siasatan di seluruh Malaysia.
-Mynewshub


