KUALA NERANG: UMNO belum memuktamadkan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata senarai itu akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi UMNO, selepas badan perhubungan UMNO negeri selesai menghantar senarai calon.
“Senarai calon ini sudah mula dikemuka ke ibu pejabat oleh badan perhubungan UMNO negeri-negeri dan selepas itu, senarai akhir apabila pengerusi perhubungan UMNO atau Barisan Nasional (BN) akan duduk bersama dengan barisan kepimpinan di peringkat tertinggi untuk muktamadkan.
“Pengerusi BN Kedah misalnya, dia bawa senarai dan kita akan berbincang dengan dia di peringkat tertinggi. Negeri Perak, Perlis negeri mana-mana saja kita bincang. Muktamadnya di situlah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Gerakan Veteran UMNO ‘Keluargaku Pengundi BN’ di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini pihaknya sudah menerima senarai calon daripada badan perhubungan UMNO negeri untuk PRU-15.
Mahdzir ketika ditanya mengenai jumlah senarai calon yang sudah dihantar atau diterima, beliau berkata, pihaknya tidak pasti mengenai jumlah berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, ciri-ciri calon itu terdiri daripada individu yang berpengalaman dan pelbagai latar belakang.
BHonline-