Sudah hampir dua minggu sejak Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) diadakan pada 17 September berlalu memberi harapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan secepat mungkin.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Begitu juga Konvensyen Wanita BN sudah lebih sebulan berlalu, manakala Konvensyen Puteri BN hampir dua bulan berakhir yang menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berulang-kali berjanji PRU-15 akan diadakan segera.
“Bila tarikh PRU-15? Saya dengan Presiden (Zahid) akan putuskan… tapi percaya lah, sikit lagi tidak lama dah,” kata Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO pada Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Taman Tasik Titiwangsa.
Malangnya, sehingga hari ini tiada sebarang bayangan PRU-15 akan diadakan dalam tempoh terdekat, sebaliknya beberapa kenyataan pimpinan kerajaan Ismail Sabri memcerminkan sebaliknya.
Paling mengejutkan Perdana Menteri selepas berjanji di hadapan jentera Pemuda BN akan membubarkan Parlimen dalam sedikit masa lagi bertanya kepada petugas media apakah rakyat bersetuju PRU diadakan semasa banjir.
Seolah-olah senada dengan pembangkang yang menjadikan kemungkinan banjir pada penghujung tahun sebagai alasan mandat tidak boleh dikembalikan kepada rakyat pada tahun ini.
Ini bukan pertama kali pimpinan kerajaan campuran sedia ada cuba mengelak menjelaskan tentang tarikh sebenar PRU-15 kepada umum khususnya petugas media dengan pelbagai alasan demi alasan.
Kesimpulannya BN masih belum berada dalam kedudukan terbaik untuk mendapatkan PRU-15 dalam tempoh terdekat berdasarkan reaksi Perdana Menteri dan para anggota Kabinet daripada parti itu sendiri.
Pada 30 September ini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilaporkan akan mengadakan mesyuarat penuh dan ia dikatakan akan menjadi mesyuarat terpenting dalam memutuskan tarikh PRU-15.
Ramai meramalkan jika masih tiada sebarang keputusan dibuat pada hari tersebut, bermakna hasrat BN untuk menyaksikan PRU-15 berlangsung dalam keadaan yang sedang memihak gabungan parti itu sudah musnah.
Sekiranya BN gagal menang besar PRU-15 dan terpaksa kembali bertaut kepada musuh politik untuk membentuk kerajaan campuran yang tidak stabil dan kukuh, maka syak wasangka ahli parti itu tentang kewujudan `tali barut’ sudah terjawab.
-Mynewshub


