Putrajaya : Seramai 21 orang mat rempit ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang atas kesalahan lumba haram di kawasan Jalan Tailong Ulu Chucoh, Sungai Pelek semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya bersama anggota balai Sungai Pelek membuat risikan selepas menerima aduan kawasan itu menjadi tumpuan mat rempit.
Katanya, dalam operasi itu polis berjaya menahan 21 buah motosikal dan di bawa ke balai Sungai Pelek untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan polis mengeluarkan 21 saman atas pelbagai kesalahan trafik, “katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Kamarul berkata, polis akan mengadakan operasi secara berterusan di kawasan itu bagi memantau dan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan lumba haram yang turut menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk setempat.
Katanya, kebanyakan mereka terdiri daripada penduduk setempat dan pihaknya menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka supaya tidak terbabit dengan aktiviti tidak sepatutnya.
-Harian Metro