SEREMBAN: Sebanyak 8,921 kes jenayah penipuan dengan pelbagai modus operandi melibatkan jumlah kerugian melebihi RM220 juta dicatatkan di Negeri Sembilan bagi tempoh tahun 2018 sehingga bulan Jun lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan, dalam tempoh berkenaan, daerah Seremban menjadi daerah yang terbanyak menerima laporan polis berkaitan kes penipuan dengan kerugian sebanyak RM144.5 juta dan diikuti oleh Daerah Polis Nilai dengan kerugian sebanyak RM30.1 juta.
Jelas beliau, ia diikuti oleh daerah Port Dickson sebanyak RM21.7 juta, Jempol (RM7.2 juta), Rembau (RM2.7 juta) dan Jelebu (RM2.4 juta).
“Bagi tempoh berkenaan didapati kebanyakan mangsa kes penipuan adalah lingkungan umur 15 hingga 40 tahun. Ia termasuk kes melibatkan tipu pindah milik tanah, pelaburan tidak wujud dan Macau Scam.
“Sehubungan itu, pelbagai usaha dilaksanakan untuk menyebar luas ilmu pengetahuan kepada masyarakat bagi mengelakkan dari menjadi penyumbang kepada peningkatan statistik mangsa penipuan, termasuk melalui pameran, ceramah dan hebahan daripada media massa,” katanya.
Aminuddin berkata demikian sewaktu menjawab pertanyaan lisan Chew Seh Yong (PH-Lobak) yang ingin mengetahui jumlah kes penipuan yang telah berlaku sejak tahun 2018 sehingga 2022 dalam Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 hari ini.
Beliau memberitahu, dua kes melibatkan modus operandi penipuan pindah milik pada tahun 2020 mencatatkan jumlah kerugian tertinggi iaitu masing-masing berjumlah RM24 juta dan RM22 juta yang melibatkan mangsa kakitangan syarikat swasta.
UtusanOnline-