KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf enam elemen warisan tidak ketara (WTK) dari Malaysia, termasuk seni silat dan mak yong.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pengiktirafan UNESCO itu adalah berdasarkan prinsip 2003 ‘Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage of Humanity’.
“Selain silat dan mak yong, WTK lain yang turut diiktiraf ialah dondang sayang; upacara wangkang yang diangkat bersama China; pantun yang diangkat bersama dengan Indonesia dan songket.
“Justeru, kita akan terus mengenal pasti elemen WTK negara yang boleh diketengahkan dan disenaraikan di masa hadapan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai), mengenai usaha kementerian itu dalam memartabatkan WTK negara bagi memastikan ia kekal terpelihara dan pada masa sama, boleh menjadi produk untuk penjanaan ekonomi rakyat serta negara.
WTK atau ‘intangible cultural heritage’ adalah sesuatu amalan, perwakilan, ungkapan, pengetahuan, kemahiran serta juga alatan, objek, artifak dan ruang budaya, yang dinilai UNESCO sebagai sebahagian daripada warisan budaya sesebuah tempat tertentu.
Pada masa sama, Nancy berkata, sehingga kini, sejumlah 529 WTK diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
Beliau berkata, ia berjaya dilakukan atas hasil daripada kesedaran masyarakat yang membantu dalam penyelidikan dan inventori bagi tujuan perlindungan.
“Pewartaan serta pengiktirafan WTK bukan sahaja memberi manfaat dari segi usaha dan pelan perlindungan warisan itu, malah peluang untuk menjana pendapatan.
“Sebagai contoh, pengiktirafan UNESCO terhadap silat membawa kepada pendedahan dan pengetahuan masyarakat dunia kepada seni mempertahankan diri itu.
“Ini seterusnya boleh menarik minat untuk peminat seni mempertahankan diri dari seluruh dunia untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.
“Saya sendiri melihat ada sekumpulan anak muda dari Malaysia yang menetap di Paris, mempunyai persatuan dan kelas silat di sana, yang mana penuntutnya adalah dalam kalangan bukan warga negara Malaysia,” katanya.
Katanya, kejayaan Malaysia menduduki kerusi UNESCO Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage (IGC ICH) untuk sesi 2022 hingga 2026 juga akan menentukan hala tuju perlindungan WTK melalui pengiktirafan kepakaran serta keupayaan negara ini.
“Ini adalah pencapaian yang amat membanggakan kerana kepakaran serta keupayaan Malaysia diiktiraf dan diyakini untuk turut sama menentukan hala tuju perlindungan WTK dunia melalui jawatankuasa di peringkat UNESCO itu,” katanya.
Pada awal bulan ini, Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melakar sejarah buat julung kalinya apabila terpilih menduduki kerusi UNESCO IGC ICH untuk sesi 2022-2026.
Kejayaan itu adalah sejarah negara sejak meratifikasi 2003 Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage pada 23 Julai 2013.
Malaysia menang bertanding dalam kumpulan negara Asia Pasifik, dengan meraih 83 peratus atau 110 undi daripada 132 undi keseluruhan.
BHonline-