KOTA BHARU : Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menyediakan rebat terutama kepada peniaga yang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik yang dialami beberapa negeri Rabu lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata satu juta akaun direkod mengalami gangguan bekalan elektrik selama dua jam 21 minit pada hari berkenaan
“Kita dapati satu juta pengguna akaun berdepan gangguan bekalan elektrik Rabu lalu membabitkan akaun domestik, industri dan komersial.
“TNB akan menyediakan rebat kepada mereka yang terkesan.
“Bagaimanapun, maklumat terperinci berhubung perkara ini akan dibentangkan di Parlimen pada 4 Ogos nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Mesyuarat Agung Tahunan PAS Parlimen Kota Bharu di sini, hari ini.
Rabu lalu, TNB mengesahkan gangguan bekalan elektrik yang berlaku berpunca kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.
Ia mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2 gigawatt (GW) yang juga 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.
-Berita Harian