Kuala Lumpur : Pasukan peguam pemerhati yang dilantik oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi kes perbicaraan Siti Bainun menyambut kehadiran Bella di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, Bella dipanggil pihak pendakwaan untuk sesi pengecaman itu bagi memastikan saksi merujuk Bella sebagai individu yang sama.
Menurutnya, ini kerana dalam keterangan saksi sebelum ini merujuk Bella dengan rujukan atau nama berbeza.
“Kami pasukan peguam pemerhati dapat menyambut anakanda Bella tadi dan mengesahkan bahawa Bella berada keadaan sihat dan sejahtera.
“Diharapkan keadaan anakanda Bella kekal stabil sehingga selesai prosiding hari ini terutama ketika proses pengecaman saksi sebentar lagi,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana melindungi dan menjaga Bella sehingga kembali sihat.
“Kami juga merekodkan penghargaan kepada pihak pendakwa raya kerana memberikan kerjasama yang baik pada prosiding hari ini,” katanya.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-Harian Metro