PUTRAJAYA: Tindakan undang-undang tegas dan kompaun lebih tinggi akan dikenakan kepada pesalah yang menyebabkan pencemaran sungai selepas pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 diluluskan di Parlimen.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan dijangka dilakukan pada Disember ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, terdapat dua fasa pindaan iaitu memberi fokus kepada elemen kompaun, penalti dan standard.
Fasa kedua pula adalah pindaan berbentuk substantif mengenai isu-isu baharu dalam tadbir urus dan alam sekitar.
Katanya, sebagai contoh elemen dalam pindaan itu, KASA akan mempertingkat jumlah kompaun daripada RM2,000 kepada tidak lebih 50 peratus penalti maksimum bergantung kepada kesalahan.
“Draf pindaan RUU ini sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti sebelum dikembalikan kepada KASA untuk dibentangkan di Parlimen,” katanya pada sidang media pada Majlis Pelancaran Portal Pekerjaan Hijau Menyokong Pertumbuhan Ekonomi Hijau Negara di sini hari ini.
Portal Pekerjaan Hijau adalah salah satu daripada inisiatif KASA melalui agensinya iaitu Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) yang telah dibangunkan dan diaktifkan semula bermula Oktober 2021 bagi
membantu merealisasikan sasaran Pelan Induk Teknologi Hijau.
Pembangunan portal itu bertujuan menyediakan platform bagi pasaran pekerjaan hijau di Malaysia dalam menyokong pembangunan industri hijau tempatan.
Ia termasuk membantu mengenal pasti tawaran dan permintaan pekerjaan hijau dalam industri tempatan dan seterusnya menjadi pusat data utama bagi maklumat pekerjaan kategori itu di negara ini.
Katanya, pindaan kedua adalah mewujudkan denda minimum RM5,000 dan denda maksimum RM10 juta.
KASA juga mencadangkan penjara mandatori tidak lebih lima tahun kepada pesalah yang melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam kes ini kerana terdapat kesalahan yang agak serius sehingga menimbulkan seksaan kepada pengguna seperti mengancam nyawa dan keracunan sumber air minuman,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, KASA juga akan memperkukuh beberapa seksyen yang ada dalam akta itu bagi meningkatkan denda dan kompaun selain elemen kesedaran kepada masyarakat.
BHonline-