ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meminta rakyat negeri ini bersabar dengan masalah bekalan air yang dihadapi mereka terutama di kawasan kritikal.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menurut beliau, kerajaan negeri dan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dalam proses melaksanakan pelbagai pelan jangka masa pendek dan panjang untuk mengatasi masalah itu yang membebankan rakyat terutama musim perayaan.
“Cara menghadapi krisis ini adalah kesabaran seperti saya juga bersabar, orang ramai juga harus bersabar. Mereka akan kata, hang bolehlah rumah hang ada air tetapi saya tak ada pilihan itu saja yang kita ada. Mereka kata, kami nak masalah ini selesai segera, masalahnya tidak boleh diselesaikan dengan segera,” katanya di Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar di Seri Mentaloon di sini hari ini.
Muhammad Sanusi memberitahu, kerja-kerja menaik taraf infrastruktur termasuk loji rawatan air (LRA) di negeri ini akan memakan masa dan kos yang tinggi termasuk membabitkan penggantian paip air uzur yang mengakibatkan kadar air tidak berhasil (NRW) tinggi.
“Tidak boleh disegerakan kerana ia akan ambil masa, kos LRA sahaja berjumpah RM931 juta dan sistem penggantian paip untuk atas NRW adalah RM970 juta,” katanya.
Jelas beliau, kerajaan negeri juga dalam proses untuk melantik syarikat swasta yang layak untuk terlibat dalam proses menaik taraf infrastruktur air terutama dalam mengatasi kadar NRW negeri ini yang tinggi.
“Bila libatkan kos yang tinggi, kita jemput syarikat swasta untuk melabur. Kita sedang buat tetapi ada penapisan yang ketat daripada kementerian dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” jelasnya.
Tambahnya, penglibatan syarikat swasta berkenaan dijangka menjimatkan kos penyelenggaraan daripada kerajaan negeri dan SADA bagi tempoh 15 tahun kelak.
Kata beliau, pelan jangka masa panjang tersebut merupakan kesungguhan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah bekalan air itu.
“Bukan Kedah sahaja di Selangor pun ada masalah air. Jadi insaflah. Negeri maju pun ada masalah air. Bukan bermaksud kita menghalalkan kelemahan ini tetapi kita sedang mengusahakannya dalam tempoh tiga tahun kita beri jaminan masalah bekalan air melibatkan naik taraf infrastruktur air ini selesai,” katanya.
UtusanOnline-

