IPOH : Beberapa penduduk di Taman Seri Perkasa di sini bimbang dengan kejadian hakisan tanah yang berlaku berhampiran kawasan perumahan itu sehingga mengakibatkan struktur dinding sebuah rumah runtuh selepas hujan lebat dan banjir kilat awal pagi semalam.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Pengerusi Penduduk Taman Seri Perkasa, S Rajah, berkata dalam kejadian itu jam 5.30 pagi, beliau dikejutkan dengan bunyi kuat dan melihat sendiri struktur berkenaan runtuh semasa hujan lebat serta banjir kilat setinggi paras lutut.
“Sudah 20 tahun saya tinggal di sini dan kejadian seperti ini tidak pernah berlaku, tetapi apabila ada pembinaan projek perumahan berhampiran sejak setahun lalu, kawasan ini sering dilanda banjir kilat.
“Kami sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berwajib, namun masalah banjir kilat masih berlarutan,” katanya ketika ditemui.
Tinjauan mendapati penghuni rumah yang strukturnya runtuh itu difahamkan telah ditempatkan buat sementara di inap desa yang disediakan oleh pemaju perumahan sejak awal pagi semalam.
-Berita Harian