BRUSSELS : Penderma antarabangsa dalam satu persidangan di Brussels pada Selasa berikrar menyumbang AS$6.7 bilion (RM29.4 bilion) kepada Syria sambil menegaskan krisis itu tidak dilupakan walaupun perang Ukraine mendapat perhatian dunia.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
“Majlis hari ini berjalan ketika tempoh yang sukar. Masyarakat dan ekonomi kita, termasuk penderma utama masih bergelut untuk pulih daripada pandemik, selain berdepan impak perang di Ukraine,” kata Pesuruhjaya Kejiranan Kesatuan Eropah (EU), Oliver Varhelyi.
Jumlah AS$6.7 bilion itu melebihi dana yang dikumpul tahun lalu berjumlah AS$6.4 bilion (RM28 bilion), dan ia digunakan untuk membantu rakyat Syria dan negara jirannya yang bergelut dengan pelarian, namun ia tidak disalurkan kepada kerajaan Syria.
“Meskipun perang melanda Eropah dan pandemik COVID-19, penderma menghantar mesej jelas kepada Syria dan rantau itu bahawa kita bersedia untuk melakukan lebih daripada sebelum ini,” kata Varhelyi.
Kebanyakan dana yang dikumpulkan itu akan digunakan bagi membantu warga Syria yang menjadi pelarian di Jordan, Lubnan dan Turki, selain Mesir dan Iraq.
Sebelum ini, pertubuhan kemanusiaan memberi amaran bahawa kesan terhadap bekalan pertanian global akibat perang di Ukraine berisiko memburukkan isu keselamatan makanan di Syria.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengunjurkan keperluan dana AS$10.5 bilion (RM46 bilion) tahun ini bagi melaksanakan tindak balas kemanusiaan terhadap krisis Syria.
Utusan khas PBB ke Syria, Geir Pedersen, memberitahu sidang di Brussels, bahawa masih ramai penduduk Syria yang hilang tempat tinggal, manakala kerajaan Damsyik hanya mencatat kemajuan kecil dalam melaksanakan tuntutan pihak antarabangsa mengenai reformasi politik.
“Krisis ekonomi dan keganasan masih berlaku, dengan risiko berterusan mengenai peningkatan ketegangan, walaupun ketenteraan di sana berada dalam situasi buntu,” katanya.
Ketua dasar luar EU, Josep Borrell, pula menolak normalisasi hubungan dengan kerajaan Presiden Syria, Bashar al-Assad atau program pembangunan semula Syria, kerana berpandangan wang yang dibelanjakan akan membantu rejim Syria.
Persidangan itu menghimpunkan kira-kira 70 negara dan institusi antarabangsa, termasuk agensi di bawah PBB. Russia, yang diselar Barat kerana menceroboh Ukraine, tidak dijemput.
-Berita Harian

