JOHOR BAHRU : Sebanyak 1,000 kekosongan tawaran mengerjakan ibadah haji 2022 yang ditolak bakal jemaah atas pelbagai faktor terutama kesihatan, telah diisi bakal jemaah dalam senarai menunggu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata 1,000 kekosongan itu diberikan kepada bakal jemaah haji dalam senarai menunggu bagi 2020 dan tahun lalu.
“Setakat ini, untuk tawaran haji kumpulan pertama 2022, sebanyak 1,000 tawaran yang ditolak itu sudah diisi dengan bakal jemaah haji dalam senarai menunggu.
“Kekosongan itu turut diisi bakal jemaah yang membuat rayuan, namun keutamaan diberikan bakal jemaah dalam senarai menunggu.
“Untuk tawaran haji kumpulan kedua, surat tawaran sudah dihantar pada 10 Mei lalu dan Tabung Haji (TH) kini sedang mengemaskini jumlah bakal jemaah haji kumpulan berkenaan termasuk yang menolak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1443 H/2022 M di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor pagi tadi yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Semalam, media melaporkan sebanyak 60,000 orang merayu untuk melaksanakan ibadah haji musim 2022 dan mereka dijangka mengisi kekosongan 1,000 kekosongan berikutan terdapat bakal jemaah terpaksa menolak tawaran disebabkan
pelbagai faktor termasuk masalah kesihatan.
Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, pihaknya tiada masalah untuk mengisi kekosongan itu berikutan setakat ini ada 60,000 rayuan.
Dalam pada itu, Idris berkata, kerajaan berpuas hati dengan kelancaran pengurusan jemaah haji diuruskan TH malah ia turut mendapat pujian daripada kerajaan Arab Saudi, baru-baru ini.
“Persediaan terutama dari segi logistik sudah siap dan kita hanya menanti kumpulan pertama bakal jemaah berlepas 4 Jun nanti.
“Kita berharap bakal jemaah haji negara ini supaya sentiasa menjaga kesihatan bagi memastikan kelancaran ibadah di tanah suci itu nanti berikutan Arab Saudi amat menitikberatkan faktor kesihatan kali ini berikutan wabak COVID-19,” katanya.
-Berita Harian

