MELAKA : Seorang penjaja terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin, enam tahun lalu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Lee Ching Hin, 42, dilepas dan dibebaskan selepas mahkamah antara lain mendapati, keterangan tertuduh dari malam sebelum kejadian sehingga ditangkap secara keseluruhannya begitu rapi dengan dibantu keterangan saksi pembelaan (SD) kedua dan ketiga.
Tertuduh memilih memberi keterangan bersumpah dan mengemukakan dua saksi pembelaan apabila diperintah membela diri di akhir kes pendakwaan pada 28 Oktober 2021. Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muzila Mohamed Arsad.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 11 saksi memberi keterangan, manakala tiga saksi termasuk tertuduh memberi keterangan bagi pihak pembelaan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Maidzuara Mohamed, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah juga, katanya, mendapati pihak polis tidak menangkap tertuduh di dalam kereta dan tiada keterangan bagaimana beg sandang berisi dadah itu berada di tempat duduk hadapan dalam kenderaan berkenaan.
“Setelah meneliti semua fakta kes, mahkamah memutuskan tertuduh berjaya membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Tertuduh dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan,” katanya pada akhir kes pembelaan hari ini.
Ching Hin didakwa mengedar heroin seberat 91.3 gram di tempat letak kenderaan di 124-K, Jalan Mahindasa, Taman Bukit Serindit, Bukit Serindit, pada jam 1.45 tengah hari 23 September 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan.
Bagi pertuduhan kedua, Ching Hin didakwa mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952, memiliki 2.3 gram dadah ‘monoacetylmorphines’ pada masa, tarikh dan di tempat sama.
Kesalatan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama yang jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Ketika ditemui di luar kamar mahkamah, Chin Hin berkata, dia amat gembira kerana dibebaskan selepas hampir enam tahun ditahan di Penjara Sungai Udang, Melaka.
-Berita Harian

