PUTRAJAYA : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bakal meneruskan perbincangan dengan parti politik lain yang senada dengannya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), selepas Aidilfitri ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bagi mengelak daripada berlakunya pertembungan antara satu sama lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.
“Saya fikir mungkin bulan puasa ini lambat sedikit tetapi selepas Hari Raya, bila situasi mengizinkan dan ada kecenderungan serta minat pihak daripada parti mana sekali pun untuk bertemu dan berbincang bagaimana untuk menghadapi pilihan raya secara bersama-sama.
“Ia bagi mengelakkan pertembungan antara satu sama lain… kita akan usahakan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN), di sini, hari ini.
Pun begitu, Muhyiddin berkata, ia bergantung kepada semua pihak dan bukan saja sebaliknya pihak lain yang sependapat dengan BERSATU juga boleh berbuat demikian bagi menentukan kemenangan dalam PRU akan datang.
Pada akhir bulan lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pimpinan utama parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi merintis hubungan kerjasama dalam PRU-15.
Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan lalu, Muhyiddin memaklumkan, beliau didatangi beberapa pemimpin parti politik yang menyuarakan pandangan supaya parti selain Barisan Nasional (BN) merintis satu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15.
-Berita Harian