MOSCOW: Russia akan membuka koridor kemanusiaan, setiap hari, bagi pemindahan orang awam yang berusaha menyelamatkan diri daripada pertempuran di Ukraine, ke wilayah di negara ini.
Langkah itu diambil walaupun Kyiv menegaskan bahawa tiada laluan evakuasi yang harus menuju ke Russia.
“Koridor kemanusiaan ke arah Persekutuan Russia kini akan dibuka, tanpa sebarang perjanjian, setiap hari bermula jam 10 pagi,” kata pegawai Kementerian Pertahanan, Mikhail Mizintsev, yang dipetik oleh agensi Russia.
Beliau berkata, laluan evakuasi ke arah lain akan dilaksanakan ‘dalam perjanjian dengan pihak Ukraine.’
“Kami meminta Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Ukraine di lapangan supaya penduduk diberitahu mengenai inisiatif Russia ini,” katanya.
Mizintsev berkata, pihak tentera Russia sedang ‘bekerja rapat dengan wakil Ukraine’ untuk membuka tiga lagi koridor kemanusiaan.
Beliau mendakwa, terdapat lebih 2.5 juta rakyat Ukraine telah meminta untuk dipindahkan ke Russia.
Selain itu, beliau juga mendakwa bahawa Moscow telah evakuasi lebih 187,000 orang awam ke Russia – namun, angka itu tidak dapat disahkan, setakat ini.
Dalam pada itu, Mizintsev menuduh tentera Ukraine menghalang evakuasi orang awam di Mariupol.
BHonline-

