KOTA KINABALU: UMNO Sabah berhasrat meletak calon mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya jika pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan diadakan dalam tempoh terdekat.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pihaknya akan membuat pertimbangan termasuk dari segi sokongan rakyat sebelum membuat keputusan mengenai perkara itu.
Walaupun UMNO tidak meletakkan calon ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020, beliau berkata, parti itu masih berminat bertanding di kerusi yang pernah diwakili UMNO-BN itu.
“Pada PRN lalu, kita (BN) menyerahkan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk meletak calonnya, Daud Tampokon, tetapi tewas di tangan calon Parti Warisan (WARISAN), Manis Muka Mohd Darah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
DUN Bugaya diisytiharkan kosong berikutan kematian Manis Muka selaku penyandang akibat masalah buah pinggang pada 17 November 2020.
Allahyarham memenangi kerusi DUN Bugaya pada PRN Sabah, September 2020 dengan majoriti 6,005 undi menewaskan enam pencabar lain dalam pertandingan tujuh penjuru.
PRK bagi kerusi berkenaan bagaimanapun ditangguhkan berikutan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong disebabkan penularan pandemik COVID-19.
Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, berkata ada kemungkinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRK Bugaya dalam tempoh terdekat berdasarkan situasi semasa penularan pandemik COVID-19 yang menyaksikan penurunan.
“Keputusan mengadakan PRK di DUN Bugaya ditetapkan oleh SPR dan kita (BN) sudah bersedia untuk menghadapinya termasuk menimbang untuk meletakkan calon,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata kekalahan calon BN, Datuk Abd Razak Sakaran yang bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan ukuran untuk BN tidak lagi meletak calon.
Katanya, UMNO tidak patah semangat untuk meneruskan usaha merampas semula kerusi berkenaan walaupun sedar WARISAN menguasai semua kerusi DUN dan Parlimen di Semporna disebabkan pengaruh Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Kita faham pengaruh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Presiden WARISAN ketika itu masih kuat, bagaimanapun dalam situasi sekarang penerimaan semula rakyat kepada BN semakin meningkat seperti dibuktikan dalam beberapa siri PRK, terkini pada PRN Melaka baru-baru ini,” katanya.
Bung Moktar berkata, UMNO mempunyai 180 cawangan di DUN Bugaya dan yakin sokongan padu ahli UMNO mampu membantu BN merampas semula kerusi berkenaan.
BHonline-