KUALA LUMPUR : Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin berpeluang melunaskan dendam ke atas pasangan nombor empat dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi apabila mereka membuat perhitungan dalam aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol, malam ini.
Dalam lima pertemuan sebelum ini, pasangan negara yang berada di kedudukan ranking ke-12 dunia itu tewas empat kali di tangan beregu Jepun berkenaan termasuklah dua kali berturut-turut di Festival Badminton Indonesia, bulan lalu.
Ee Yi-Yew Sin yang kali pertama mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia tekad untuk memberikan tentangan sengit kepada Hoki-Kobayashi sekali gus mengintai peluang bagi melangkah ke pentas final.
“Saya fikir kami perlu lebih bersabar apabila berdepan mereka. Kami tewas dua kali di Indonesia di tangan mereka dan sudah pasti ia bukan perlawanan yang mudah.
“Kami akan buat persiapan dan memberikan aksi terbaik kami dalam perlawanan itu nanti. Diharapkan kami boleh melakar kemenangan dan mara ke final,” kata Yew Sin.
Terdahulu, Ee Yi-Yew Sin mencipta kisah dongeng yang tersendiri apabila menumbangkan juara Olimpik Tokyo 2020, Wang Chi Lin-Lee Yang 12-21, 21-17, 21-15 dalam aksi suku akhir, malam tadi.
Sebagai rekod, ini adalah kemenangan pertama pasangan negara itu ke atas Chi Lin-Lee Yang selepas tewas tiga pertemuan sebelum ini.
Kejayaan mara ke separuh akhir menyaksikan Ee Yi-Yew Sin sekurang-kurangnya sudah pun memastikan pingat gangsa dalam genggaman mereka.
“Kami sangat gembira dengan kemenangan ke atas Chi Lin-Lee Yang, kami memang tidak menjangkakannya.
“Namun, kami tidak boleh berpuas hati lagi dengan pencapaian setakat ini, kerana perjuangan kami masih belum berakhir,” kata Yew Sin.
-Berita Harian