WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sudah meluluskan suntikan vaksin COVID-19 kepada 900,000 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun.
Ia akan dilaksanakan dalam tempoh seminggu lagi, selepas pemberian Pfizer diluluskan untuk golongan terbabit.
Penyelaras COVID-19 Rumah Putih, Jeff Zeints, berkata kira-kira 700,000 lagi kanak-kanak dalam kalangan usia berkenaan sudah mendapat janji temu di farmasi.
“Program ini semakin rancak dilaksanakan,” katanya.
Mengikut perangkaan, AS mempunyai kira-kira 28 juta kanak-kanak dalam kelompok usia lima hingga 11 tahun.
Suntikan vaksin antara lain diberikan di farmasi, pejabat pakar kanak-kanak, hospital kanak-kanak dan tempat tertentu yang dikhaskan.
Secara keseluruhan, sekitar 20,000 lokasi dirancang untuk pemberi suntikan pelalian kepada kanak-kanak menggunakan vaksin Pfizer yang diluluskan minggu lalu.
Mereka bakal diberikan dua dos, dengan sela tiga minggu, manakala setiap dos mengandungi 10 mikrogram, berbanding 30 mikrogram yang diagihkan kepada individu berusia lebih tua.
“Walaupun kanak-kanak kekal lebih berdaya tahan kepada virus ini berbanding golongan dewasa, mereka masih berdepan risiko,” kata Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit, Rochelle Walensky.
Jangkitan COVID-19 di AS kini menunjukkan pola mendatar pada tahap 73,000 kes setiap hari.
Namun, pakar bimbang bahawa risiko gelombang baharu penularan berkemungkinan tercetus pada musim sejuk khususnya membabitkan wilayah dengan kadar liputan vaksin yang rendah. – AFP