KUALA LUMPUR – Komen berunsur perkauman yang dilemparkan terhadap pemain perseorangan wanita negara, S. Kisona tidak sepatutnya berlaku.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique, berkata, perkara itu tidak boleh diterima dalam budaya Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa.

“Nasihat saya kepada semua pihak dan pengguna media sosial jangan bangkitkan api perkauman.
“Elak menggunakan kata yang menghiris hati dan perasaan kaum lain demi menjaga perpaduan dan keharmonian Keluarga Malaysia,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Halimah berkata, insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana sukan adalah integrasi dan perpaduan yang menyatukan rakyat di negara ini.
Baru-baru ini seorang bekas pemimpin politik meminta maaf selepas membuat komen yang tidak sepatutnya ke atas Kisona di media sosial.
Pemain perseorangan wanita negara itu tewas di tangan pemain Jepun dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland. – K! ONLINE
