ANUGERAH Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) mula diperkenalkan pada tahun 1987 dengan hanya tujuh kategori dipertandingkan ketika itu.
Secara perlahan-lahan, lebih banyak kategori seperti Artis Paling Popular mula diperkenalkan dan ABPBH menjadi program anugerah industri hiburan yang paling berprestij di negara ini.
Jangan kata menang, mana-mana artis tercalon dalam sebarang kategori pun boleh berbangga dan melihat itu sebagai pengiktarafan kepada diri mereka.
Tahun ini, ABPBH akan berlangsung buat kali ke 34.
Namun, untuk edisi kali ini, kemeriahan ABPBH agak tercalar apabila beberapa nama besar industri hiburan mengumumkan menarik diri dari dicalonkan.
Setakat, tiga artis yang mengumumkan berbuat demikian adalah Zul Ariffin, Remy Ishak dan Zizan Razak.
Bukan boikot tetapi masing-masing tampil dengan alasan tersendiri untuk berbuat demikian.
Zizan berkata, dia menarik diri untuk membuka peluang kepada bakat baharu.
“Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) antara majlis anugerah yang banyak memberi pengkitirafan kepada nama-nama besar dalam industri hiburan Malaysia.
“Sejujurnya, ia adalah anugerah yang mendekatkan Zizan dengan para peminat. Dan di situlah kami berkumpul dan mengenali antara satu sama lain. Semua mencatat momen manis!
“Begitupun, seiring usia dalam bidang seni, Zizan mengambil keputusan untuk menarik diri dari sebarang pencalonan #abpbh34. Zizan percaya ABPBH kali ini harus diraikan kepada bakat-bakat baharu yang bertanding. Hal ini telah dimaklumkan kepada pihak penganjur.
“Terima kasih kepada pihak penganjur yang saban tahun mencalonkan Zizan. Dan terutama peminat yang mengundi sepanjang penganjurannya. Zizan akan terus menyokong ABPBH dari luar gelanggang. All the best kepada semua calon!” katanya.
Remy Ishak kerana tidak banyak berlakon dan mahu mereka yang lebih layak diberikan peluang.
“Saya telah maklumkan kepada pihak penganjur untuk tidak mencalonkan dalam mana-mana kategori ABPBH34. Memandangkan tahun lalu produk filem atau drama yang saya lakonkan kurang, saya berpendapat peluang ini harus diberikan kepada mereka yang lebih layak untuk bertanding,” katanya.
Zul Ariffin tidak berapa jelas mengapa mahu menarik diri menyebabkan para peminatnya membuat andaian dia mahu bersara.
Namun, Zul telah menafikan hal berkenaan.
“Jangan risau, saya tidak bersara dari dunia lakonan, hijrah atau apa pun.
“Buat masa sekarang saya hanya ingin menjadi insan yang lebih baik daripada sebelum ini. Saya juga bersedia untuk panaskan enjin (lakonan). Banyak yang akan datang,” katanya.
Kalau dilihat, semua alasan yang diberikan mencerminkan sikap merendah diri di kalangan artis senior. Bukan sebab hadiah yang ditawarkan atau sebab lain.
Mungkin mereka memang jujur dan benar-benar mahu membuka ruang kepada artis-artis baru. Satu sikap yang terpuji.
Moga tidak ada lagi mana-mana artis lain bertindak menarik diri kerana kehilangan tiga tiang seri industri hiburan kita kali ini sudah cukup untuk mengurangkan rasa umphhh program kali ini.
Malam kemuncak ABPBH 34 akan disiarkan secara langsung di TV3 dan Tonton termasuk YouTube TV3 dan BH serta laman web ABPBH di www.abpbh.com.my pada 13 November depan.
Malam kemuncak ini akan dikendalikan secara virtual dengan pematuhan ketat SOP ditetapkan MKN dan KKM. – Mynewshub.TV
IKUTI TWITTER MYNEWSHUB DI SINI