KUALA LUMPUR – Individu sudah menerima dos lengkap di luar negara perlu melaporkan status vaksinasi mereka di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran.
Ia sebahagian daripada proses bagi mendapatkan sijil vaksinasi digital di aplikasi MySejahtera.
Perkara itu dimaklumkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi ciapannya di Twitter, malam tadi.
Individu terbabit perlu mengemukakan bukti vaksinasi lengkap, sama ada dua dos atau dos tunggal diterima di luar negara kepada PKD berhampiran kediaman mereka.
Bukti dos lengkap adalah kad vaksinasi atau sijil yang dikeluarkan di negara berkenaan.
PKD kemudian akan mengesah dan menghantar maklumat itu kepada MySejahtera melalui Jabatan Kesihatan negeri bagi pengeluaran sijil vaksinasi individu terbabit.
Sementara itu, JKJAV dalam ciapan berasingan hari ini, memaklumkan jumlah pemberian vaksin COVID-19 harian mencatatkan trend penurunan apabila sebanyak 289,958 dos suntikan diberikan semalam, berbanding 300,501 dos, kelmarin.
Ia membabitkan 136,177 dos pertama daripada pelalian dua dos, manakala 153,841 dos lengkap diberikan melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Populasi dewasa lengkap divaksinasi meningkat kepada 68 peratus atau 15,926,601 individu, manakala yang menerima sekurang-kurangnya satu dos direkodkan sebanyak 87.8 peratus atau 20,543,016 orang. – BH Online