KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat Lembah Klang kini boleh beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) susulan kadar vaksinasi yang telah melebihi 80 peratus.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diputuskan dalam perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 bersama barisan Kabinet yang dipengerusikannya nanti.
“Sekali lagi saya berbangga dengan semua yang terbabit dan pencapaian hebat ini,” katanya dalam catatan di Facebook beliau, hari ini.
Semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata, kadar lengkap vaksinasi bagi populasi dewasa di Lembah Klang telah mencecah 89.5 peratus. – BERNAMA

