KUCHING – Semua presiden komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Isnin depan.
Jurucakap Pejabat Ketua Menteri Sarawak berkata, pertemuan empat pemimpin parti dengan baginda akan diadakan secara persidangan video.
Beliau berkata, persidangan video itu akan diadakan di Wisma Bapa Malaysia di sini, pada jam 11 pagi.
“Pejabat Ketua Menteri hari ini dihubungi oleh Istana Negara yang memaklumkan baginda menjemput semua presiden komponen GPS untuk menghadap baginda menerusi persidangan video pada 14 Jun ini (Isnin),” katanya, di sini, hari ini.
Pemimpin terbabit ialah Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg selaku Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Pengerusi GPS; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing.
Hari ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.
Anwar adalah antara tujuh pemimpin parti politik termasuk pembangkang, dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, bermula hari ini hingga Jumaat ini.
Empat pemimpin terbabit dijadualkan menghadap baginda hari ini, manakala dua lagi esok dan seorang pada Jumaat.
Aagenda majlis menghadap berkenaan tidak diketahui, namun ia dipercayai ada kaitan dengan keadaan semasa negara terutama isu penularan COVID-19 yang membimbangkan. – BH Online