GLASGOW – Artem Dovbyk menjaringkan gol pada minit ke-121 bagi membantu Ukraine menewaskan Sweden yang beraksi 10 pemain 2-1 selepas tamat masa tambahan untuk mengesahkan slot ke suku akhir Euro 2020, sebentar tadi.
Oleksandr Zinchenko meletakkan Ukraine di depan pada minit ke-27 di Glasgow, tetapi Emil Forsberg berjaya menyamakan kedudukan buat Sweden sebelum tamat babak pertama menerusi jaringan keempatnya dalam kejohanan kali ini.
Sweden bernasib malang apabila Marcus Danielson dilayangkan kad merah ketika masa tambahan.
Situasi itu nyata memberi kelebihan buat Ukraine dengan Dovbyk menanduk masuk gol selepas menerima hantaran daripada Zinchenko bagi membawa Ukraine melangkah ke suku akhir.
Ukraine akan bertemu England dalam perebutan tempat ke separuh akhir, awal pagi Ahad ini di Rom. – Agensi

