KUALA LUMPUR – Selebriti Neelofa, 32, dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail, 26, sekali lagi menjadi perhatian apabila didakwa menaiki satu kenderaan melebihi tiga orang sekali gus melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Muhammad Haris atau PU Riz ketika berkata, apa yang disebarkan itu tidak seperti apa yang dipaparkan menerusi rakaman video yang tular.
“Saya dan isteri, Neelofa mendapat surat kebenaran rentas negeri untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, pagi tadi. Peguam kami pun memang ada kes di Mahkamah Seremban. Dalam masa sama, mahkamah dan IPD berdekatan.
“Saya dan isteri memang dalam satu kereta sama. Jadi, kami tunggu peguam habis kes untuk bergerak sekali ke IPD. Selepas selesai beri keterangan, kebetulan pihak media sudah tunggu di depan pondok.
“Jadi, kami nak turunkan semula peguam ke kereta yang diletakkan di mahkamah. Jarak kedua lokasi pun tidaklah jauh. Jadi, apabila peguam masuk kereta kami, orang fikir kami memang naik satu kereta dari Kuala Lumpur. Mungkin kamera litar tertutup di kawasan IPD dan mahkamah boleh nampak kalau mereka nak bukti,” katanya kepada Harian Metro.
PU Riz menjelaskan perkara itu tidak seterusnya dijadikan isu baharu.
“Kami memang naik kereta asing. Tidak timbul isu naik satu kereta. Keluar dari perkarangan IPD pun sebab nak turunkan peguam di mahkamah,” katanya.
Terdahulu, pasangan itu hadir ke IPD Seremban bagi memberi keterangan berkaitan tindakan mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka.
Kesalahan didakwa dilakukannya ketika hadir pada prosiding di Mahkamah Majistret Seremban, Khamis lalu, bagi pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berada di premis menjual karpet di Nilai 3, Nilai, dekat sini, pada 2 Mei lalu. – myMetro Online
