KUALA LUMPUR – Semua institusi pendidikan ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Rabu ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata pengecualian bagaimanapun diberikan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa.
“Pusat asuhan kanak-kanak, TABIKA, TADIKA dan TASKA juga dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, semua aktiviti sukan dan rekreasi juga dilarang, kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti jogging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal.
Sementara itu, beliau berkata, hanya tiga orang dibenarkan berada dalam kenderaan, teksi dan e-hailing sepanjang tempoh PKP.
Perdana Menteri juga menjelaskan, bilangan orang yang dibenarkan di dalam kenderaan membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi atau industri pula bergantung kepada jumlah dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.
“Bilangan orang yang dibenarkan di dalam pengangkutan awam mestilah mematuhi penjarakan fizikal dan mematuhi SOP yang sudah ditetapkan,” katanya. – BERNAMA