WOW! Ini bukan cerita dogeng. Ini bukan filem rekaan genre sains fiksyen. Ini kisah “real” tentang sebuah daerah di Malaysia bernama Jeli.
Siapa sangka daerah Jeli yang terletak di Kelantan tidak lama lagi bakal memiliki Super App tersendiri yang akan dibangunkan oleh Microsoft.
Microsoft iaitu sebuah perbadanan teknologi komputer multinasional yang telah membangunkan beraneka keluaran perisian untuk seantero dunia.
Semua tahu bukan mudah untuk mendapatkan kerjasama sebuah syarikat besar seperti Microsoft. Maka betapa beruntung penduduk Jeli.

Pasti ada tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan Super App? Bagi mengetahui apa itu Super App kita perlu terlebih dahulu tahu apakah itu App.
App dalam bahasa Inggeris adalah pemendekan istilah kepada perkataan “Application Software”.
App merupakan perisian yang banyak digunakan pada peranti mudah alih seperti telefon pintar dan komputer tablet.
Sebagai contoh App popular dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam adalah Grab.
App FoodPanda pula popular dalam kalangan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan penghantaran makanan.
Manakala App seperti Waze dan Google MAP berperanan sebagai pemandu arah untuk orang ramai ke destinasi ditujui.
Rata-rata organisasi kerajaan dan swasta turut memiliki App masing-masing sebagai medium penyampaian perkhidmatan.
Antaranya syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), institusi perbankan mahupun institusi pendidikan tinggi.
Segala urusan termasuk pembayaran bil, permohonan, semakan, aduan boleh dilakukan hanya dengan menggunakan App.
Terdapat juga App untuk kemudahan umat Islam seperti iSolat, Huda, Raudah sebagai aplikasi informasi waktu solat.

Kesimpulannya App telah banyak merubah gaya hidup masyarakat masa kini dengan memudahkan urusan seharian mereka.
Tinjauan pemasaran aplikasi mudah alih beberapa tahun lalu malah mendapati rakyat Malaysia antara pengguna aplikasi paling aktif di Asia.
Secara purata pemilik telefon pintar di Malaysia dilaporkan menggunakan sekurang-kurangnya tujuh aplikasi sehari.
Justeru, apa pula dimaksudkan dengan Super App seperti yang dikatakan akan dibangunkan di daerah Jeli?
Secara umum Super App bermaksud beberapa fungsi App akan berada dalam satu aplikasi yang sama.
Kewujudan Super App membuatkan orang ramai tidak perlu menggunakan banyak aplikasi dalam “smartphone-nya”.
Dalam erti kata lain urusan yang telah dipermudah sejak kewujudan App bertambah mudah dengan adanya SuperApp.

Sebagai contoh perkhidmatan MyCar beralih ke aplikasi MyCar Super App yang berkonsep multifungsi bermula tahun lalu.
Dengan hanya muat turun satu aplikasi, pengguna boleh mendapatkan perkhidmatan e-hailing, penghantaran makanan, penghantaran kurier dan beli-belah.
Dalam konteks SuperApp Parlimen Jeli, ia merupakan pembangunan digital yang akan memudahkan kehidupan masyarakat daerah itu.
Super App itu akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan. Super App Jeli akan dilengkapi pelbagai maklumat yang signifikan buat penduduknya.
Bagi fasa pertama tumpuan Super App Parlimen Jeli diberi kepada aspek pendidikan serta kemudahan untuk usahawan setempat memasarkan produk.

Parlimen Jeli turut menyediakan Pusat Internet Komuniti kelajuan tinggi untuk segelintir penduduk yang masih berdepan kesulitan pencapaian internet.
Ini ekoran terdapat kira-kira 13 kawasan di daerah itu dikenal pasti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih mengalami masalah liputan internet mudah alih 4G setakat 26 Februari lalu.
Sehubungan itu, penyediaan Pusat Internet Komuniti memainkan peranan penting bagi mengatasi permasalahan berkenaan sekali gus memastikan penduduk Jeli memperoleh akses terbaik kepada dunia digital.
Pastinya kewujudan Super App Jeli akan memperkasakan pembangunan pesat yang sedang berlaku di daerah berkenaan.
Apapun terima kasih kepada Ahli Parlimennya, Datuk Seri Mustapa Mohamed kerana tanpa usaha beliau mustahil ini jadi realiti. – Mynewshub.TV

