PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tujuh individu ditahan reman untuk siasatan kerana dipercayai terbabit dalam sindiket kartel memonopoli tender kerajaan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat susulan penahanan individu terbabit sejak malam tadi.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 17 dan 18 Akta SPRM. Kita tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya hari ini.
Kesemua individu terbabit ditahan reman enam hari bermula hari ini sehingga 10 April dan perintah reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim.
Terdahulu, SPRM membongkar kegiatan sindiket kartel bagi memonopoli ratusan tender kementerian dan agensi kerajaan sejak tujuh tahun lalu susulan penahanan tujuh individu termasuk ketuanya berusia 47 tahun malam tadi.
Kartel terbabit dikatakan memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek dianggarkan mencecah RM3.8 billion.
Ketua sindiket berkenaan mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi yang terbabit.
Individu terbabit menggunakan 150 syarikat berbeza dengan menggajikan beberapa individu sebagai pengarah syarikat yang mana sebenarnya dimiliki beliau sendiri.
Tumpuan sindiket ini ialah projek penyelenggaraan kemudahan dan projek pembangunan.
Sindiket itu dipercayai mendapat kerjasama ‘orang dalam’ bagi memastikan syarikat bawah kawalannya dibenarkan memasuki tender supaya antaranya berjaya.
Modus operandi kartel ialah membayar rasuah kepada orang dalam untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender dan sebut harga.
Hasil risikan dijalankan SPRM juga mendapati sindiket ini menggunakan nama beratus-ratus individu untuk membuka syarikat bawah naungannya dan akan dibayar gaji bulan serta komisyen sebagai imbuhan bagi penggunaan nama serta butir peribadi mereka.
Kelayakan akademik dan profesional bagi kebanyakan penama yang digunakan untuk menubuhkan syarikat ditubuhkan ketua kartel itu adalah palsu, termasuk penyata kewangan palsu bagi melayakkan mereka memasuki tender atau sebut harga. – BH Online