KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan kluster baharu yang dikenal pasti hari ini membabitkan lima kluster pendidikan, termasuk empat kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia, selain dua lagi kluster komuniti manakala satu kluster tempat kerja.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster sekolah dan institusi pendidikan itu adalah di Jalan Roban Lama dan Jalan Selirik di Sarawak, Jalan Sungai Daun (Pulau Pinang), Persiaran Sri Saujana (Johor) dan Mempaga Satu di Pahang.
Katanya, bagi kluster komuniti dikenal pasti ialah Gong Dermin di Kelantan, Seri Desa di Pahang selain Kluster Jalan Bukit Bintang di ibu negara sebagai kluster tempat kerja.
Katanya, pihaknya menasihati orang ramai termasuk individu yang sudah menerima vaksin Covid-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan.
“Patuhlah kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai normal baharu. KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – BERNAMA

