KISAH kegagalan projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) bukan perkara baru. Sejak tahun 2013.
Kerajaan ketika itu mengumumkan akan membina 20,000 unit rumah membabitkan kos RM1.5 bilion.
Ia merupakan projek sosial untuk generasi baharu FELDA di tanah rancangan.
Bertujuan membantu generasi baharu FELDA memiliki rumah mampu milik yang selesa di kawasan sendiri.
Bagaimanapun, hanya 8,314 unit membabitkan 38 tapak dibina.
Lebih malang hanya 2,058 unit daripadanya berjaya disiapkan. Lagi 18 tapak siap 70 peratus ke atas.

Begitu banyak terbengkalai sehingga digelar warga FELDA projek ‘gajah putih’.
Kajian mendapati isu utama kerana modelnya tidak lestari.
Kos pembinaan RM198,000, tetapi dijual pada harga RM90,000.
Ini menyebabkan bagi setiap rumah yang dibina, kerajaan subsidi RM110,000.
Golongan sasar pula gagal memenuhi syarat pinjaman institusi kewangan. Tiada kerja tetap.
Menunjukkan tiada perancangan dan kajian pasaran yang komprehensif sebelum projek itu dilancarkan.

Paling memalukan FELDA pernah bekerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Tetapi selepas diketahui model yang digunakan tidak lestari, perjanjian itu dimansuhkan.
Bagaimanapun pengumuman kerajaan di Parlimen pada Ogos 2020 membawa harapan baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan kerajaan akan meneruskan projek perumahan FELDA.
Walaupun ia bermakna kerajaan perlu menyalurkan subsidi yang besar dalam kekangan kewangan semasa.
Kerajaan memperuntukkan penyiapan projek terbengkalai Perumahan Generasi Baharu Felda berjumlah RM250 juta.

Hari ini sudah bulan ketiga tahun 2021. Kita berharap perancangan beliau berjalan dengan lancar.
Kita mengharapkan sentuhan kali ini menamatkan kisah kegagalan projek PGBF.
Sudah agak lama generasi muda FELDA bersabar menunggu rumah yang selesa yang mampu mereka miliki.
Difahamkan, sejak setahun lalu jumlah PGBF yang telah siap dibina telah pun meningkat kepada 2,358 unit.
Manakala 2,436 unit lagi akan dibina dalam tempoh terdekat. Syukur alhamdulillah.
Walaupun tampak perlahan tetapi ‘progress’ sedang berlaku. Bukan mudah untuk memperbaiki apa yang sudah rosak. – Mynewshub.TV