KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh keutamaan akan diberi perhatian oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keutamaan pertama menangani kemiskinan, khususnya penghapusan kemiskinan tegar dan mengurangkan ketidaksamarataan sosioekonomi.
Katanya, keutamaan kedua memberi penekanan kepada Agenda Pemerkasaan Bumiputera, bagi mengurangkan jurang di antara Bumiputera dengan kaum lain.
“Ketiga, mempercepat pembangunan di Sabah dan Sarawak dan negeri-negeri lain yang kurang membangun dengan memantapkan penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas.
“Keempat menyediakan ekosistem yang kondusif untuk membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
“Kelima mempercepat penerima-gunaan teknologi termaju dan pendigitalan,” katanya menyampaikan Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya, hari ini.
Muhyiddin berkata, keutamaan keenam menggalakkan pelaburan yang berkualiti dengan memberi tumpuan kepada aktiviti berteknologi tinggi.
Ketujuh, katanya, mempercepat peralihan kepada ekonomi hijau untuk menyokong agenda pembangunan mampan dan menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon.
Muhyiddin berkata, beberapa industri berpotensi tinggi dikenal pasti sebagai peneraju dan sumber pertumbuhan baharu seperti industri aeroangkasa, elektrikal dan elektronik yang lebih canggih, kreatif, biojisim dan pertanian pintar.
Katanya, kerajaan juga akan melaksanakan strategi untuk mempertingkat produktiviti bagi mempercepat peralihan kepada industri yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi serta berteknologi tinggi. – BH Online
